TOYOTA GT LEVIN /AE101
Nasib Levin/Trueno selepas model AE86 sama sekali tidak sama dengan kegemilangan yang dikecapi ikon sport murah Jepun itu. Salah satu sebabnya adalah pertukaran konfigurasi pacuan dari belakang ke depan yang menjadikan model-model legend ini jadi nampak biasa sangat.
Mungkin juga sebab ia tidak lagi digunakan dalam animasi Initial D. Masalah ini bukan sahaja berlaku kepada Levin, model panas macam Celica pun menerima nasib yang sama.
Di Malaysia, Toyota SE Limited (AE90), SEG (AE100) dan SE-G (AE110) ialah rangkaian kereta pacuan depan Corolla yang gemar untuk dimodifikasi. Banyak sungguh SEG yang guna enjin 4AGE ke 4 throttle atau Supercharge.
Sebabnya, memang sudah tiada pilihan lain kerana UMW Toyota Motor memang terkenal kerana menjual kereta-kereta versi lemau. Setakat yang saya tahu, kereta paling power yang boleh dibeli ialah Vios TRD. Sebab itu masa mereka lancar Toyota 86 saya macam tak percaya.
Tetapi jika anda berpeluang pergi ke Jepun, Toyota versi badan 100 ada banyak sangat, dari wagon, coupe, hatchback, sport semuanya ada. Saya yakin anda memang tak pernah tengok Levin GT Apex ini sebab ia boleh diklasifikasikan sebagai spesis yang rare, macam model wagon SEG 100.
Untuk memudahkan pemahaman, kereta ini ialah versi coupe bagi generasi Corolla SEG (tahun 91-95). Model ini biasanya dijumpai dalam bentuk half-cut di kedai potong. Rupa sebenar kereta half-cut 4AGE, black top dan 6 kelajuan macam inilah.
Walaupun pakej kereta ini menarik, ia tidak dibawak masuk secara rasmi ke pasaran tempatan. Jarang dilihat maknanya rare. Bila rare, nak beli susah dan harganya tak tentu. Macam Toyota Sera atau Mazda MX5 Miata. Boleh jadi murah dan merepek herganya.
Enjin kereta ini sama seperti yang biasa orang masukkan ke dalam SEG iaitu 4AGE, 4 throttle body, black top dan transmisi enam kelajuan. Ia dianggap enjin 4AGE paling maju dan berkuasa dalam eranya. Enjin ini lasak dan senang dijaga. Jadi, apabila dapat kereta ini dalam bentuk asal, Azrul biarkan saja dalam keadaan original.
Pengubahsuaian kecil yang dibuat adalah memetakan semula kotak komputer. Kemudian ada kabel TRD, air filter HKS dan catch tank Cusco. Azrul sangat bernasib baik dapat jumpa ekzos lengkap 5Zigen Fireball dari tengah sampai paip muffler belakang.
Kalau dulu rim Black Racing 2 piece ni hanya digemari oleh kereta Olskul, sekarang kereta-kereta moden pun dah mula berebut nak pakai. Bukan saja pada era GT111 ni, malah EG, EK pun sama dan seperti biasa menjadikan harganya semakin tak masuk akal.
Rim 15 inci dipadankan dengan tayar Falken Ziex bersaiz 195/55/15 di segenap sudut. Untuk merendahkannya, set suspensi Kayaba RS dipasang. Brek asal masih digunakan dengan yakin tanpa was-was.
Melihat ke bahagian dalam membuatkan saya terbayangkan SEG convert. Memang inilah rupa SEG selepas convert 4AGE blacktop. Kereta dipasang dengan APEXi RSM, knob TRD, pedal Razo dan akhir sekali stereng Momo. Pemain audio JDM Kenwood tu disatukan dengan speaker dan subwoofer aktif Bose.
Pada zaman kereta ini dikeluarkan, bodykit untuk model ini memang tak banyak pilihan. Saya syak masa tu tuner sibuk bikin bodykit Skyline, Supra dan Silvia. Masa era awal 90-an juga bodykit pelik bukanlah benda yang disukai di Jepun. Orang lebih suka kekalkan yang asli. Walaupun begitu, kereta ini sebenarnya telah menerima beberapa pengubahsuaian iaitu bonet depan dengan skup dari model GT supercharger, bampar depan Tom’s dan spoiler belakang BZR.
Kereta ini jatuh dalam kategori subjektif rare. Pada pemilik Toyota, ia dianggap spesis pelik yang boleh nak beli kalau ada duit dan yang penting ada orang nak jual. Alat gantinya bagaimanapun senang cari sebab ia Toyota.
[hr]SPESIFIKASIModel: Toyota GT Levin/AE101
Enjin: 4AGE 20v black top, penapis udara HKS, oil catch tank Cusco, kabel plug TRD, ekzos 5Zigen
Transmisi: 6 kelajuan manual
Suspensi: Kayaba RS
Brek: OEM
Rim: Black Racing 15 2 pieces
Tayar: Falken 195/55/15
Dalaman: Standard dengan RSM APEXi, stering Momo, knob TRD, pedal Razo
Audio: Head unit Kenwood, speaker dan sub Bose
Luaran: Bodykit depan Levin 101 Supercharger, bumper depan Toms, spoiler BZR, warna pearl white
[hr]GALERI