" "
Buletin

TOYOTA HASILKAN SEMULA ALAT GANTI SUPRA A70 DAN A80

Dengan Toyota Supra A90 sudahpun berada di pasaran, pengeluar berpengaruh dariJepun itu kini dilihat mahu fokus kepada pemilik Supra sedia ada pula.

Justeru, baru-baru ini Toyota melancarkan GR Heritage Parts Project. Inisiatif itu bertujuan menghasilkan semula alat-alat ganti yang sudah tiada terutama bagi model Supra Supra A70 (1986-1993) dan A80 (1993-2002).

Namun harus tahu bahawa Toyota tidak akan menghasilkan semua alat ganti A70 dan A80. Sebaliknya projek itu akan mula menghasilkan propeller shaft, hendal pintu, tolok bahan api, weatherstrips dan emblem hadapan A70.  

Sementara alat ganti untuk A80 pula ialah lampu utama, hendal pintu dan booster brek.  

Alat ganti terhad itu boleh diperolehi mengikut permintaan. Pelanggan perlu mengisi borang pada laman web rasmi Toyota untuk memohon alat ganti yang mereka perlukan.

“Kami akan kumpul semua alat ganti yang diminta dan menggunakan data ini semasa membuat keputusan apakah komponen yang dihasilkan kelak,” jelas Toyota.  

Setakat ini, Toyota masih belum meletakkan nombor alat ganti ke atas produk baharunya itu, walaupun produksi dijadual bermula tahun ini. Toyota juga ada menyatakan jualan runcitnya mungkin terpaksa ditangguh sehingga 2021 atas sebab pengilangan.

Toyota akan menjual alat ganti Supra baharu ini sebagai produk tulen di Amerika Utara dan Eropah. Ini bermakna pelanggan boleh membelinya daripada pengedar sah Toyota di sana.

GR Heritage Parts Project mula dibuat selepas beberapa pengeluar memperkenalkan program sama untuk menyokong pelanggan dan peminat kereta mereka. Mazda, Lamborghini, Nissan, FCA, Land Rover dan beberapa pengeluar lagi ada menawarkan alat ganti model lama, selain membantu kerja-kerja restorasi.  

Memiliki dan menyelenggara kereta yang sudah lama tidak diproduksi sememangnya mencabar.

Jadi, GR Heritage Parts Project pasti boleh membantu pemilik A70 dan A80 mengekalkan kereta mereka dalam keadaan terbaik sepanjang masa.

Google ads
Back to top button