
TRIUMPH SPEED TRIPLE 2016
Triumph akhirnya mendedahkan model Speed Triple 2016 yang bakal dipamerkan di EICMA, Milan.
Difahamkan pihak Triumph melakukan kerja kemas kini secara komprehensif ke atas model Speed Triple R dan Speed Triple S. Versi 2016 berkenaan kini memiliki tambahan kuasa dan tork.
Malah, rekaannya juga tampil lebih segar bersama peningkatan aspek elektronik. Hasil perubahan berkenaan menjadikan penampilan Speed Triple lebih halus dan seimbang dalam sejarah penghasilannya.
Duo Triumph berkenaan kelihatan lebih ramping dan sofistikated. Ia langsung tidak mengorbankan imej agresif Spreed Triple. Signatur lampu depan berkembar baru lebih sporty. Bahagian belakang mengambil inspirasi dari Daytona 675R.
Enjin bersesaran 1,050cc dikatakan masih sama dengan model sedia ada. Namun, bagi memenuhi regulasi emisi Euro 4, 104 perubahan telah dibuat. Ini termasuklah pengurangan lebar jentera sebanyak 20mm.
Perubahan paling besar adalah peningkatan kuasa. Dan.. paling penting penghantaran tork sepanjang julat rev. Bahkan, model baharu berkenaan juga dikatakan menjimatkan bahan api sehingga 10 peratus.
Penambahbaikan enjin yang dilakukan oleh Triumph melibatkan kebuk pembakaran, kepala silinder, engkol, reka bentuk omboh dan sistem ride-by-wire.
Model Speed Triple berkenaan juga kini ditawarkan dengan empat mode tunggangan iaitu Road, Rain, Sport dan Track. Turut disediakan mode rider-configurable. Ia membolehkan pemilik menetapkan talaan Speed Triple mengikut kehendak dan keadaan persekitaran.
Speed Triple R tampil berbeza. Model berkenaan dilengkapi dengan mud guard karbon fiber di bahagian depan, tangki minyak infill, suspensi Öhlins NIX30 dan Öhlins TTX36 RSU, hendal bar billet-machined dan lain-lain.
Tawaran warna bagi model S ialah merah dan hitam. Sementara R didatangkan dalam warna putih dan Matt Graphite. Kedua-duanya dilengkapi sub kerangka berwana merah, roda rim garis halus, penutup radiator dan pelana dengan perincian jahitan.