Motosikal

TRIUMPH PERKENAL TIGER 900. 6 VARIAN, HARGA BERMULA RM63,900 SEUNIT

Fast Bikes (Triumph Malaysia) baru-baru ini memperkenalkan model touring terbarunya, Tiger 900 yang menjanjikan kepuasan menunggang dan padat dengan teknologi terkini.

Menjadi antara jentera touring terbaik yang ada di pasaran sekarang, ia ditawarkan dalam 6 varian:

  • Tiger 900                       RM63,900
  • Tiger 900 GT                 RM74,900
  • Tiger 900 GT (LRH) RM74,900
  • Tiger 900 GT Pro          RM82,900
  • Tiger 900 Rally             RM78,900 
  •  Tiger 900 Rally Pro         RM85,900        

Bagi penggemar off-road, anda boleh memilih varian Rally dan Rally Pro. Varian itu direka khusus bagi kegunaan trek mencabar, tetapi masih selesa untuk ditunggang di atas jalan raya biasa.

Varian GT, GT Pro dan GT Pro LRH (Low Ride Height) pula sesuai untuk tunggangan dalam bandar mahupun jarak jauh. Sementara varian asas, Tiger 900 disasarkan untuk mereka yang mungkin kurang bajet, tetapi teringin untuk memiliki sebuah jentera hebat ini.

Sedia maklum bahawa model Tiger sebelum ini menggunakan enjin bersesaran 800cc. Kini, model terbaharu Tiger didatangkan dengan enjin bersesaran 900cc. 

Ia menawarkan penambahan kuasa tork sebanyak 10 peratus berbanding model terdahulu. Enjin itu juga mematuhi piawaian Euro5.

Hasilnya, jentera itudijana oleh 94 kuasa kuda pada 8,750 rpm dan tork mencecah 87Nm. Bagi menyejukkan enjin, Tiger 900 didatangkan dengan set radiator berkembar bagi mengurangkan bahang panas.

Triumph menyatakan model ini 5kg lebih ringan berbanding model terdahulu. Kelebihan ini menjanjikan prestasi pemanduan yang fleksibel dan meyakinkan.

Tiger 900 dilengkapi dengan sistem suspensi yang berbeza dari Marzocchi dan Showa bergantung kepada varian. Namun, semua model dibekalkan dengan sistem brek prestasi tinggi Brembo Stylema monoblok bagi kuasa cengkaman yang meyakinkan.

Mazda CX30

Varian tertinggi, Tiger 900 Rally Pro hadir dengan 6 mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport, Off-Road, Rider dan Off Road Pro.

Bagi memenuhi kehendak dan keselesaan penunggang, model GT Pro menawarkan suspensi elektronik boleh laras. Sekiranya beban berlebihan, penunggang boleh mengubah tahap suspensi jentera dengan mudah.

Lebih menarik, fungsi itu boleh dikawal melalui menu yang dipaparkan pada skrin TFT. Penunggang juga boleh memilih 9 jenis kawalan peredam yang menentukan tahap suspensi.

Tiger 900 juga didatangkan dengan teknologi serba baru seperti paparan skrin 7 inci TFT dengan sistem ketersambungan My Triumph bersepadu.

Penampilan luaran motosikal itu diserlahkan dengan lampu nyalaan siang LED. Selain itu, fungsi pengecas USB lengkap dengan ruang simpanan telefon turut disediakan.

Tags
Google ads
Back to top button