Motosikal

TUNGGANG UJI – KAWASAKI J300!

Benda pertama yang utama dan terdahulu, paling prioriti dan nombor satu apabila bercakap tentang skuter maxi ialah: “Kenapa harga skuter itu ini mahal?”

test-ride-Kawasaki-J300-mekanika (5)

Ya tuan-tuan, memang begitulah poliferasinya. Kita tak boleh bandingkan kapasiti enjin skuter dengan mana-mana jenis motosikal berkuasa tinggi yang lain. Skuter ialah skuter.

Apabila ia dipacu oleh enjin V belting CVT, casis underbone, tempat mengisi barang yang banyak dan selesa untuk pemanduan urban, maka skuter dibina dengan kos yang tidak murah.

Kita bercakap tentang Maxi. Ketepikan dahulu mana-mana skuter dengan lesen B2. Kawasaki Malaysia telah berusaha membawa masuk skuter yang diperkenalkan di EICMA pada 2013, J300. Bangga juga bila Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mendapat model khas untuk pasaran Eropah ini.

Kawasaki-J300-mekanika (14)

J300 adalah hasil usahama Kawasaki Jepun dan pembuat terkemuka skuter di dunia, Kymco dari Taiwan. Kymco mempunyai sejarah automotif industri dua roda yang panjang.

Bermula seawal 1963 dengan menjadi rakan niaga penting Honda, Kymco akhirnya mampu berdiri sendiri membina empayar motosikal disegani di rantau Asia untuk produk berasaskan skuter. Ini adalah koloborasi kedua terpenting Kymco selepas membangunkan skuter C600 Sport/C650GT bersama BMW Motorrad.

Kesempatan menunggang uji skuter maxi ini dari Putrajaya ke Morib tidak lama dahuli sememangnya satu peluang yang ditunggu-tunggu sejak desas-desus kemasukan model ini berlegar di laman web tempatan.

test-ride-Kawasaki-J300-mekanika (3)

Secara jujur, saya bukanlah peminat skuter sebab CVT tetap CVT. Ia tak boleh ditunggang tangkas dan saya tak suka betul bunyi enjin berketak apabila pendikit dipulas secara paksa.

Saya juga kekok menunggang dengan brek di tangan. Kali terakhir yang buat saya ‘mengkaji’ tentang skuter ialah bila berpindah ke rumah baru dan cadangnya nak beli untuk hantar anak ke sekolah. Sebab kebanyakan skuter kerusinya lebar dan panjang.

Masa tu saya cuba tunggang Honda PCX 150, SYM 250, Honda NSS Forza, Aprilia SR Max 300 dan hampir-hampir menempah Kymco Xciting 400i. Akhirnya tak jadi sebab bajet. Pada harga begitu, saya kena fikir banyak kali!

Kawasaki-J300-mekanika (10)

Membelek karekter buatan, kualiti binaan, suis, meter dan keseluruhan J300 jelas ia menampilkan standard tinggi sebelum dipakaikan dengan lencana Kawasaki. J300  dilengkapi ruang simpanan cukup besar di bawah pelana untuk memuatkan topi keledar saiz penuh atau beg komputer riba.

Di bahagian papan instrumentasi juga ada sebuah bekas kecil, cukup untuk memuatkan barang-barang peribadi seperti kunci, dompet, telefon bimbit.

Sebaik duduk di pelana J300, saya tidak rasa ia macam 300cc. Jarak kelegaan pelana dan bar hendal cukup selesa bagi saya yang berketinggian 176cm. Kebanyakan skuter dalam rangkaian ini bar hendalnya terlalu dekat dengan badan (sekurang-kurangnya untuk ukuran saya).

test-ride-Kawasaki-J300-mekanika (10)

Walaupun renggang, bar hendal tadi tak terlalu tinggi macam Modenas Elegan. Kaki masih boleh duduk selesa dalam badan motosikal untuk mengelak rempuhan angin.

Sebaik pendikit dipulas, kuasa datang tanpa perlu enjin bekerja keras memanjat RPM. Enjinnya juga cukup senyap untuk piawaian sebuah skuter. Daya kilasnya sangat membantu pada trafik berhenti-jalan dan semasa memotong kenderaan.

Tork yang dihasilkan enjin satu selinder 299cc ini, kalau pun tak laju macam Honda Integra, tapi dah cukup solid, sesuai dengan badannya. Kelajuan tertinggi yang dicatat di atas lebuh raya ialah 160km/j. Berpijaklah di bumi nyata, ini skuter dengan rim 14″ depan dan 13″ belakang brader!

Kawasaki-J300-mekanika (7)

Pengendalian J300 ini cukup selesa untuk trafik urban. Kontur pelananya yang lebar membolehkan kita mengubah kedudukan sama ada ke depan atau ke belakang ketika punggung mula berasa kebas dalam perjalanan jauh.

Kawasaki Malaysia juga bertindak bijak apabila membawa masuk spesifikasi brek dengan sistem ABS. Cakera berbentuk kelopak itu bukan sahaja nampak cantik, malah  memberi pengalihudaraan yang efisyen apabila digandingkan dengan hos jenis steel braided.

Skuter maxi ini dijual pada harga RM31,500 dengan warna pilihan hitam dan putih. Dalam segmen ini, saingan Kawasaki ialah Honda NSS300 Forza dan Aprilia SR MAX 300 dengan lingkungan harga hampir sama.

test-ride-Kawasaki-J300-mekanika (7)

Ya, untuk skuter Tier 1 berjenama. Melainkan Sym (250i dan Maxsym 400), Daelim SV250 atau Kymco (downtown 300 dan Xciting 400) untuk skuter Tier 2 yang dijual lebih murah. J300 ialah Kawasaki dan Kawasaki Malaysia sangat serius dalam menentukan produk mereka mendapat servis lepas jualan terbaik.

Pasaran skuter kita pernah mengalami zaman puncaknya apabila model-model seperti Yamaha Majesty, T-Max, Suzuki Burgman, Gilera Nexus, Aprilia Sport City dibawa masuk secara serius oleh pengedarnya. Kemudian senyap sunyi tak tahu kenapa.

Mungkin orang Malaysia tak berapa gemar skuter. Faktanya, motosikal berkuasa tinggi cuma 15% daripada TIV motosikal atas 150cc pada tahun 2015.

test-ride-Kawasaki-J300-mekanika (8)

Jadi orang akan bertanya adakah berbaloi membeli J300? Terpulang kepada kemampuan dan keperluan. Jika mampu, anda sebenarnya membeli produk yang terbaik ada di pasaran dalam kelasnya.

Pun begitu, janganlah harap ia laju macam motor naked. Sesaran enjin 300cc dan CVT adalah gabungan bandar dan jarak sederhana jauh. Ia direka untuk praktikal bukannya kelajuan.

test-ride-Kawasaki-J300-mekanika (12)

Kalau nak laju beli T-Max 530, Suzuki Burgman 650cc (recond) atau Honda Silverwing 600 (recond) – semua harga macam superbike 600cc. Kalau tak cukup laju lagi, beli Aprilia SR-V 850 atau Honda Integra 700. Dua-dua pakai rantai, dua-dua laju dan dua-duanya super mahal. Masih komplen pasal tak cukup top speed? Beli Panigale R!

Google ads
Back to top button