
TUNGGANG UJI: KTM 990 DUKE 2024 DI ALMERIA
Sekitar November 2022, saya berpeluang menguji KTM 890 Duke R terbaru di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Ketika itu, saya sememangnya kagum dengan prestasi dan kemampuan jentera The Scalpel terbaru dari KTM.
Pada waktu itu, 890 Duke R merupakan pengganti kepada 790 Duke sebelum KTM membuat “U-Turn” dan meneruskan pengeluaran 790 Duke di China menerusi kerjasama dengan CFMOTO.

KTM 990 Duke pengganti kepada 890 Duke
Masuk tahun 2024, KTM sekali lagi menggubal rancangan mereka dan kali ini menggantikan 890 Duke dengan 990 Duke. Seperti anda, kami juga terkejut dengan perkembangan tersebut namun mungkin ada sebab mengapa KTM membuat keputusan mengejut itu.
Bagi merungkai jawapan, baru-baru ini kami telah terbang ke Almeria, Sepanyol bagi menguji kemampuan model terbaru, KTM 990 Duke.

Tanggapan pertama, saya menjangkakan 990 Duke sekadar versi yang lebih besar besar dari 890 namun sebaliknya, kerana generasi terbaru itu seakan terasa seperti model Super Duke yang lebih kompak.
Pertamanya, KTM sudah pun menjangkakan orang ramai termasuk media antarabangsa akan mempunyai tanggapan bahawa 990 Duke hanya 890 Duke namun dengan kapasiti enjin yang lebih besar.
Jadi dengan idea tersebut, mereka membuat keputusan untuk menghasilkan Duke serba baharu. Berapa banyak yang baru? Menurut KTM, 96 peratus dari 990 Duke itu adalah serba baharu jika dibandingkan dengan 890 Duke.

Jika 96 peratus adalah baharu, bermakna hanya 4 peratus sahaja yang dibawa dari 890 Duke kepada 990 Duke baharu. Menurut KTM, 4 peratus itu hanya merangkumi kaliper brek 4-pot dari J.Juan.
Secara peribadi, rupa bentuk lampu LED depan itu sahaja sudah cukup menjelaskan betapa berbezanya 990 Duke jika dibandingkan dengan versi 890.

Casis yang dipertingkat
Pada awalnya, kami mahu memfokuskan ujian di Almeria ini terarah kepada ruangan enjin tetapi KTM sendiri lebih berasa teruja dengan casis baharu yang diguna pakai.
Ini kerana, 890 Duke sebelum ini terkenal dengan casis yang mudah lentur sekiranya menunggang secara agresif. Bagi mengatasi masalah itu, KTM mengemas kini kerangka pada 990 Duke dan kini 15 peratus lebih kukuh.
Kerangka juga kini bersambung kepada bahagian luar ’swingarm’ berbanding bahagian dalam pada 890 Duke. Swingarm terbaru ini juga 2.2kg lebih ringan dan menawarkan ‘feel’ yang lebih baik di jalan raya.

Bukan sekadar enjin lebih besar
Tentu saja, kita tidak boleh bercakap tentang 990 dan tidak menyebut enjin. Sebenarnya, walaupun mengguna pakai nama ‘990’, kapasiti sebenar enjin adalah 947cc parallel-twin.
Seperti yang disebut pada awal artikel, enjin yang lebih besar ini bukan sekadar mengubah ‘bore’ dan ‘stroke’ silinder tetapi dibangunkan serba baharu bagi mematuhi standard Euro5+ yang akan dikuatkuasa pada 2025. Jelas KTM, platform baharu ini menawarkan 123hp pada 9,500rpm dan 103Nm.

Seperti yang kita sedia maklum, angka kuasa kuda dan tork itu diperolehi dari crank jadi jika atas dyno (ujian dunia sebenar) angka itu sedikit berbeza (dalam hal ini, lebih rendah dari dinyatakan). Namun, tidak syak lagi keterujaan menunggang yang ditawarkan masih lagi sama.
Jangan risau, walaupun usaha KTM adalah menjadikan 990 Duke ini menghampiri zon Super Duke, tetapi model ini tidak segerun versi “abang besar”.

Pakej elektronik baharu
KTM 990 Duke 2024 ini menawarkan lima mod menunggangn (Rain, Road, Sport, Performance dan Track) dan sewaktu menunggang saya mudah menukar mod dengan bantuan butang di ‘handlebar’ kiri.
Road merupakan mod standard tapi saya lebih gemar mengguna mod Sport untuk menikmati keterujaan ekstra (dalam bentuk tork) yang ditawarkan.
Bagi yang mahukan prestasi yang lebih tepat dengan gaya sendiri, mod Performance dan Track membenarkan anda menyelaraskan prestasi motosikal dengan lebih terperinci termasuk traction control, wheelie control dan launch control.

Rumusan
Slogan #NoBullshit sememangnya memainkan peranan dalam menceritakan 990 Duke terbaru ini.
Usaha KTM untuk menyalurkan karakter Super Duke itu terbukti menjadi terutamanya dengan menghasilkan casis yang lebih kukuh berbanding 890 Duke.

Selain itu, casis yang dipadankan dengan fork WP Apex 43mm di bahagian depan (boleh laras sepenuhnya) dan penyerap hentak WP Apex di belakang memungkin kami untuk membantai 990 Duke ini dengan lebih agresif tanpa rasa segan.
Atas kertas, 990 Duke ini adalah model lebih baik dari 890 Duke. Rata-rata media antarabangsa juga berkongsi pendapat sama walaupun ada satu dua yang masih bersorak untuk 890.
Namun, kami berasakan sokongan itu akan beralih sepenuhnya kepada 990 Duke sebaik versi R diperkenalkan tidak lama lagi.