Artikel Pilihan

VESPA: BAGAIMANA SEBUAH SKUTER MENJADI IKON GAYA HIDUP

Vespa asalnya merupakan kenderaan dua roda sebagai alternatif bergerak di celah-celah kota Rom Itali yang dilanda kemusnahan akibat Perang Dunia. Berevolusi sekian lama dan kemudiannya berkembang menjadi ikon fesyen.

Antaranya disebabkan gara-gara pengaruh melalui filem Roman Holiday dan juga keterlibatan golongan modernis (Mod) pada sekitar tahun 50an.

BACA – KENAPA VESPA BEGITU ISTIMEWA?

BACA – PROMOSI AKHIR TAHUN VESPA MALAYSIA

Sejak diperkenalkan, lebih daripada 16 juta unit Vespa telah berjaya dipasarkan di serata dunia. Sewaktu mula diperkenalkan oleh perekanya, Corradino D’Ascanio, seorang jurutera pesawat untuk Enrico Piaggio selaku tuan punya Piaggio, beliau mengatakan yang ia kelihatan seperti “tebuan”, ataupun vespa dalam bahasa Itali.

Beberapa bulan selepas itu ia mula dihasilkan. Malah satu perkataan baru telah ditambah dalam bahasa Itali berikutan populariti Vespa iaitu “vespare” yang bermaksud “pergi ke suatu tempat dengan Vespa”.

Sampai begitu sekali pengaruh Vespa di Itali. Mungkin Pak Amid boleh menggunakan istilah “demakre” – pergi surau dengan Demak Interchange.

VESPA SPRINT LEBIH BERPRESTASI

SEMUANYA SEBAB REKABENTUK

Skuter rekaan D’Ascanio ini memang sangat menggoda. Ia juga cukup kecil dan boleh diharap untuk ke mana-mana. Kerangkanya yang rendah dan rata membolehkan para wanita menunggangnya walaupun dengan memakai skirt.

Enjinnya yang tertutup di bahagian bawah tempat duduk mengelakkan pakaian bergaya golongan Mod terhindar dari kotoran seperti minyak dan gris menjadikannya berbeza dengan motosikal jenis lain. (tak caya kau try bawak Suzuki Best dengan 2T cap lipan)

Lebih daripada itu, Vespa juga menghasilkan bunyi seperti tebuan daripada ekzosnya. Cukup menyeronokkan untuk ditunggang di zaman kebangkitan Itali selepas Perang Dunia Kedua. Ia sememangnya sebuah kenderaan kecil yang murah lagi praktikal sesuai untuk kegunaan domestik ketika itu.

ROMAN HOLIDAY-PENGARUH FILEM TERHADAP VESPA

Roman Holiday - filem yang mencetuskan budaya Vespa di kalangan peminat dua roda
Roman Holiday – filem yang mencetuskan budaya Vespa di kalangan peminat dua roda

Golongan wanita ketika itu cukup menggilai Vespa. Kemunculannya dalam filem ROMAN HOLIDAY, sebuah filem komedi romantik yang dilakonkan oleh Audrey Hepburn dan Gregory Peck pada tahun 1953 memang kena pada masanya.

Ada dakwaan mengatakan gara-gara filem itu sahaja, sebanyak 100,000 unit Vespa telah berjaya dijual. Adegan pasangan Hollywood itu menunggang Vespa tanpa hala tuju di sekitar kota Rom dikatakan cukup bergaya sekaligus menarik minat warga Itali melakukan perkara yang sama.

Selepas itu, Vespa terus muncul dalam pelbagai filem sekaligus memberikan pengiklanan secara percuma untuk skuter tebuan mekanikal Piaggio ini.

Antara filem lain yang menampilkan Vespa ialah JESSICA, yang dilakonkan oleh Angie Dickinson pada tahun 1962, THE TALENTED MR RIPLEY, yang menampilkan Matt Damon selaku pelakon utama dan Caro Diario sebuah filem Itali yang dihasilkan dalam tahun 1993.

the-talented-mr-ripley-vespa
Salah satu adegan dalam filem The Talented Mr Ripley

Penyanyi Gwen Stefani turut menampilkan Vespa dalam satu klip video beliau yang bertajuk Now That You Got Itpada tahun 2007.

Kenaikan harga bahan api di pasaran dunia, suasana kota yang semakin sesak dan kurangnya tempat meletak kenderaan menambahkan lagi populariti Vespa di serata dunia. Walaupun dicabar oleh pesaing yang cuba meniru konsep yang ada padanya, Vespa kekal penjadi pilihan pengguna walaupun asalnya ia cumalah sekeping plat logam yang dihasilkan dengan menggunakan teknik pressed-steel.

ILHAM PAYUNG TERJUN

Walaupun Vespa sememangnya dilahirkan di Itali, ia sebenarnya diilhamkan sewaktu para jurutera Itali melihat sejenis motosikal yang digunakan oleh pasukan payung terjun Amerika Syarikat sewaktu Perang Dunia.

Dinamakan Cushman Airborne dan merupakan sebuah motosikal yang lengkap dengan kerangka tetapi dalam bentuk skuter dan berwarna hijau buah zaitun.

Motosikal tersebut digugurkan bersama pasukan tentera Berikat di tengah-tengah bandar Turin dan Milan untuk membantu memerangi tentera Jerman ketika itu. Ia memberikan kelebihan mobiliti kepada tentera Berikat untuk memenangi peperangan tersebut.

Menggunakan material dan skil selaku jurutera pesawat membolehkan D’Ascanio menghasilkan Vespa yang cukup bijak dan mudah dikendalikan. Ia diperkenalkan kepada awam pada tahun 1946 di Milan setahun lebih awal daripada pencabar terdekatnya juga daripada Itali iaitu Lambretta.

KEMUNCULAN PESAING

Lambretta merupakan sebuah jentera yang seakan-akan Vespa dan dihasilkan juga oleh dua orang jurutera pesawat iaitu Cesare Pallavicino dan Pier Luigi Torre untuk Ferdinando Innocenti, pemilik Lambretta. Menariknya beliau merupakan seteru D’Ascanio sebelum beliau mengambil langkah untuk bergabung dengan Piaggio.

Fuji Rabbit - Skuter dari Jepun yang cuba menyaingi Vespa
Fuji Rabbit – Skuter dari Jepun yang cuba menyaingi Vespa

Beberapa skuter lain turut muncul selepas itu antaranya ialah Fuji Rabbit dari Jepun yang juga dilancarkan pada tahun yang sama dengan Vespa.

British juga tidak mahu kalah dan menghasilkan model Triumph Tigress dengan enjin dua-selinder rekaan Edward Turner dalam tahun 1958. Yang sedihnya, walaupun skuter itu mampu memecut sehingga ke 113 km/j, Tigress selalu meragam dan memerlukan penunggangnya membawa beg berisi spanar dan pemutar skru sepanjang masa. Dah macam runner repair motor pula.

Bagaimanapun, di Britain jugalah Vespa menempa nama selepas mengecap populariti di Itali berikutan kebangkitan golongan modernis ataupun “Mods” yang cukup menggemari Vespa.

Triumph Tigress - Skuter yang cuba memikat pembeli dengan gaya yang sememangnya ilham Vespa
Triumph Tigress – Skuter yang cuba memikat pembeli dengan gaya yang sememangnya diilhamkan dari Vespa

Golongan ini merupakan serpihan budaya yang mementingkan gaya dengan sentiasa berpakaian kemas (Contoh terdekat: Wak Doyok). Biasanya mereka memakai sut yang ditempah dan meminati muzik aliran jazz moden.

Mereka akan membanjiri kota-kota besar di Britain pada hari minggu dan bergaduh dengan kumpulan peminat rock yang berambut panjang dan menggunakan motosikal berkuasa tinggi.

VESPA MODEN YANG MENGEKALKAN TRADISI

Kini Vespa kembali menguasai dunia selepas 70 tahun diperkenalkan. Ia menjadi cukup popular bukan hanya untuk bersiar-siar seperti pelakon Hollywood tetapi juga untuk ke tempat kerja.

Satu sahaja kurangnya di Malaysia ialah faktor harganya yang agak premium. Jika ia berada pada lingkungan harga yang sama dengan skuter keluaran Taiwan dan Jepun rasanya tidak mustahil ia akan menjadi bestseller.

Tapi bila difikir balik, ia sebuah vespa kan?

Jika tak premium, di mana keistimewaannya?

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button