Motosikal

VESPA SPRINT S TFT EDITION. KETERSAMBUNGAN VESPA MIA, 2 WARNA MENARIK, RM19.9K SEUNIT

Didi Resources yang merupakan pengedar rasmi motosikal Vespa di Malaysia hari ini  melancarkan Vespa Sprint S dengan papan pemuka TFT ke pasaran tempatan. 

Pengenalan model itu dilihat sebagai gabungan reka bentuk sofistikated dengan aspek ketersambungan termaju. Ia direka untuk mereka yang mahukan eksklusiviti serta dinamik. Sedia maklum bahawa Vespa sentiasa peka dengan perkembangan trend semasa. 

Pusat Reka Bentuk Vespa Itali menampilkan Vespa Sprint S TFT Edition dengan kombinasi warna kontras yang menarik. Warna badan tembaga (Bronzo Antico) dikontraskan dengan kemasan berwarna hitam. Manakala warna hitam (Nero Opaco) pula dipadankan dengan kemasan berwarna tembaga jelas nampak menarik dan mewah. 

Papan pemuka TFT berbentuk permata itu boleh disambungkan dengan peranti pintar menerusi aplikasi Vespa MIA. Sebaik sahaja disambungkan, skrin itu akan memaparkan pelbagai notifikasi seperti panggilan dan mesej. Sistem itu juga membolehkan anda menguruskan panggilan melalui joystick yang ada pada sebelah kiri hendal. 

Vespa MIA juga berfungsi menyalurkan pelbagai maklumat termasukalah parameter tunggangan dan statistik perjalanan yang boleh dilihat di telefon pintar. 

Jentera berkenaan dipasang dengan rim aluminium aloi bersaiz 12 inci dan sistem lampu LED. Ia dijana oleh enjin selinder tunggal empat lejang iGet bersesaran 150cc yang mampu menghasilkan kuasa 12.7hp dan tork 12.8Nm pada 6,500rpm. 

Tugas membrek diserahkan kepada sistem brek ABS satu saluran dengan cakera bersaiz 200mm di depan dan brek gelendong di belakang. Pengendalian mantap Vespa Sprint S TFT Edition pula disumbangkan oleh suspensi arm tunggal dengan penyerap hentak hidraulik di hadapan dan penyerap hentak berkembar boleh laras di belakang. 

Jika berminat, Vespa Sprint S TFT Edition boleh anda miliki pada harga RM19,900 seunit. Ia hadir bersama jaminan selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km (mana-mana tiba dahulu).

GALERI

Google ads
Back to top button