Motosikal

RAIKAN ULANG TAHUN KE-75, VESPA PERKENAL PRIMAVERA 150 DAN GTS 300 EDISI ISTIMEWA. BERMULA RM23.5K

Bagi meraikan sambutan ulangtahun ke-75 Vespa, Didi Resources hari ini melancarkan model Vespa istimewa yang dikenali sebagai Vespa 75th Anniversary. 

Jentera itu hadir dalam bentuk Vespa Primavera 150 dan Vespa GTS 300.  Siri ulangtahun ke-75 itu hanya akan ditawarkan sepanjang tahun 2021 sahaja. 

Model tersebut diserlahkan dengan warna kuning metalik yang asal iaitu Giallio 75th. Warna itu dibangunkan khas sebagai interprestasi warna yang menjadi kegilaan sewaktu zaman 1940-an, selain menghidupkan kembali warisan dan gayaan Vespa. 

Pelekat nombor 75 berwarna kelabu cerah dipasang pada panel sisi dan mudguard hadapan. Manakala ‘tie’ di hadapan diberi warna kuning yang lebih gelap (pyrite yellow) sebagai kontras. Pelananya dibalut dengan kulit nubuck bersama  kemasan berwarna kelabu. 

Penampilannya diserlahkan lagi kemasan krom pada tie, kluster instrumen, penutup muffler, cermin sisi, rak barang belakang dan perehat kaki pembonceng untuk model GTS 300. Rim pula menerima warna kelabu yang cantik. 

Gayaan klasik Vespa ini ditingkatkan dengan beg berbentuk bulat seperti bekas menyimpan tayar spare. Beg itu mempunyai tali sandang supaya senang dibawa dan boleh dipasang pada rak dengan mudah. Ia juga didatangkan bersama pelindung kalis air. 

Sama seperti edisi istimewa Vespa yang lain, kedua-dua skuter itu dilekatkan dengan plat pada bahagian lutut kanan penunggang. 

Sebagai sebuah Vespa moden, kedua-dua model berkenaan hadir dengan paparan TFT berwarna bersaiz 4.3 inci yang lengkap bersama sistem ketersambungan telefon pintar Vespa MIA. 

Jika berminat, Vespa Primavera 75th Anniversary ditawarkan pada harga RM23,500 manakala Vespa GTS 300 75th Anniversary berharga RM38,900 seunit. 

Lebih eksklusif lagi, anda akan menerima Welcome Kit yang terdiri daripada plat besi vintaj Vespa, buku pemilik dan lapan poskad dengan imej lapan dekad kisah Vespa. 

Tahukah anda dalam tempoh 75 tahun, lebih 19 juta unit Vespa telah dihasilkan dan dipasarkan di 83 buah negara sejak 1946. Model ke-19 juta merupakan GTS 300 dalam versi Edisi Khas Ulangtahun ke-75 yang dipasang di kilang Pontedera yang menjadi kilang utama Vespa sejak dahulu lagi. 

GALERI

Google ads
Back to top button