
(VIDEO) AKSI DRIFT SUPERCAR VS BMW i3 POLIS – FOUNDER KOSMETIK TIMBANG KILO TAK NAK TIRU KE?
Rasanya tak ada seorang pun kaki kereta yang tidak teringin untuk melakukan aksi drift dengan supercar (ramai yang cuma dapat lakukan dalam permainan video je). Ramai yang tak mampu pakai supercar macam kami jugak dan kalau mampu pun rasa macam tak waras je nak belasah kereta mahal-mahal macam dalam video ni.
Tapi itu semua bukan satu halangan untuk beberapa orang pemilik supercar di luar negara untuk bersukaria dengan supercar mereka dengan melakukan aksi drift di atas padang rumput termasuklah sebuah Porsche Carrera GT. Ya Carrera GT tuan-tuan, bukan besher-besher punya mainan ni.
Tapi nampaknya aksi mereka ini tidak disenangi pihak berkuasa yang bertindak menghantar sebuah kereta peronda BMW i3 untuk menyuraikan ‘acara’ tersebut.
Seorang Youtuber luar negara yang dikenali sebagai TheTFJJ merakamkan aksi menarik ini di sebuah acara permotoran. Mungkin sebab pengunjung dan peserta dan bosan asyik lihat kereta-kereta kaku dipamerkan dan mengambil tindakan untuk melakukan aksi yang lebih menghiburkan.
Supercar pertama yang mengambil bahagian dalam acara ini ialah sebuah Ferrari 458 Speciale Aperta yang menghiburkan penonton dengan aksi drift dan runut bunyi V8 Ferrari yang sudah dikenali ramai. Ia merupakan aksi yang wajar dilakukan oleh semua pemilik Aperta sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Tercabar dengan aksi Aperta tadi, sebuah McLaren 675LT segera menyahut cabaran dan diikuti oleh saudara terdekat Aperta, Ferrari 599 GTO. Walaupun cuma berjumlah 599 unit di seluruh dunia, pemilik 599 GTO ini tidak ragu-ragu untuk memecahkan gegendang telinga penonton dengan jeritan enjin V12 670hp ke 8250 rpm. Hebat.
Pemilik-pemilik Porsche sudah tentu merasa tercabar dan sebuah 911 GT3 RS menyahut cabaran dan diikuti oleh sebuah supercar eksotik sebenar, Porsche Carrera GT. Aksi Carrera GT ini mungkin kelihatan agak sumbang tapi jeritan enjin V10 segera menyelamatkan maruah Porsche dan pada masa yang sama memikat pihak polis untuk masuk ke gelanggang.
Menariknya, campurtangan polis langsung tidak memberikan kesan dan aksi drift tangkap muat terus berlangsung dengan beberapa peserta lagi antaranya ialah Ferrari SF90, Lancia Delta S4 dan Ariel Nomad. Nasib baik Abang Japar tak turun sekali dengan Alza Vtectec Superleggera Mentakab Edition. Kalau tak memang confirm sampai ke malam dok main kejar-kejar ala hero dan heroin Hindustan.
Menarik juga kalau ada acara macam ni kan? Teringin tak nak join? Tapi kena cukup syarat utama dulu. Iaitu anda harus memiliki sebuah supercar (supercar Rawang tak mau deh).
Eh, founder-founder kosmetik timbang kilo kat Rwanda tak nak tiru ke? Balik-balik content pakai baju ketat tudung singkat dengan video isi minyak.