" "
Motosikal

YAMAHA PERKENAL MODEL NAKED MT-25, RM21,500 SEUNIT. PREBIU MT-15, MULA JUAL NOV 2020

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini memperkenalkan dua model naked terbaharu, Yamaha MT-25 dan MT-15 ke pasaran tempatan.

Pengenalan itu melengkapkan lagi tawaran keluarga MT yang sebelum hadir melalui model MT-10, MT-09 dan MT-07.

Yamaha MT-25

MT-25 ditawarkan pada harga RM21,500 seunit (tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran). Hadir dalam warna putih dan biru, motosikal tersebut akan berada di semua pengedar Yamaha Big Bikes bermula 18 September 2020.

Lebih menarik lagi, pelanggan terawal akan menerima rantai MT-25 First Edition yang dihasilkan oleh Royal Selangor. Bagi membolehkan lebih ramai peminat memilikinya, anda boleh mendapatkan pinjaman daripada AEON Credit pada kadar faedah 6 peratus sahaja.

MT-25 dikuasakan oleh enjin empat lejang dengan sistem penyejukan cecair berkapasiti 249cc. Enjin dengan injap pancitan bahan api itu mampu menjana kuasa 35.5hp pada 12,000rpm dan tork 23.6 Nm pada 10,000. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi kotak gear enam kelajuan.

Berbanding enjin sama pada R25, enjin pada MT-25 telah ditala untuk disesuaikan dengan karekter jentera MT.

Sama seperti model MT yang berenjin lebih besar, MT-25 tampil dengan rekaan yang cukup garang. Bahagian hadapan diserlahkan menerusi sepasang lampu utama LED nipis.

Anda boleh mengakses semua maklumat tunggangan menerusi paparan digital LCD dengan ciri lampu shift timing.

Jentera ini menawarkan posisi tunggangan yang tegak dan kedudukan hendal tinggi. Aspek tunggangan dimantapkan lagi dengan penggunaan fork hadapan jenis terbalik.

Tugas membrek diserahkan kepada cakera brek bagi hadapan dan belakang bersama sistem brek ABS dua saluran.

Motosikal ini menggunakan rim 17 inci  yang dibalut tayar 110/70R17 untuk roda hadapan dan bersaiz 140/70R17 di belakang.

Yamaha MT-15

Menjadi model paling kecil dalam keluarga MT, MT-15 akan mula berada di pasaran pada November 2020. Bagi yang berminat, harganya masih belum diumumkan.

Sebagai sebuah model naked, MT-15 dipasang dengan fork terbalik bersama kemasan emas, sedangkan MT25 hadir warna hitam. Jentera ini menggunakan kerangka Deltabox untuk kualiti tunggangan yang mengujakan.

Ia menggunakan enjin bersesaran 155cc berkuasa sekitar 18.5hp yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan seperti MT-25. Tangki bahan apinya sedikit kecil, iaitu hanya berkapasiti 10 liter.

Pelanggan boleh memilih di antara dua warna sama ada putih atau biru.

GALERI

Google ads
Back to top button