Motosikal

YAMAHA PERKENAL SKUTER MIO S DI INDONESIA – SASAR JUALAN 300K UNIT DALAM MASA SETAHUN

Yamaha Motor Co., Ltd. mengumumkan bahawa ia akan melancarkan skuter MIO S di Indonesia mulai Oktober depan.

Tampil dengan badan yang lebih ranggi dan bergaya, skuter bersesaran 125cc ini direka agar untuk ditunggang terutama oleh golongan wanita. Ia ditawarkan pada harga 15,750,000 rupiah (RM4,926) seunit.

MIO S baharu dibina di atas platform MIO sedia ada. Masih mengekalkan enjin BLUE CORE, ciri baharu pada MIP termasuklah panel hadapan nipis serta ruang meletak kaki lebih lebar dan bertekstur.

Skuter itu juga didatangkan dengan sistem kunci baharu dan lampu utama LED yang pertama dalam siri MIO.

Menurut Yamaha, jentera itu fokus kepada kumpulan sasar pengguna wanita berusia 18 hingga 25 tahun yang mahukan sebuah skuter mampu milik dan bergaya.

Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Yamaha, pasaran motosikal di Indonesia mencecah skala 5.6 juta unit dengan 80 peratus daripadanya ialah skuter.

Daripada jumlah itu, dua juta unit adalah skuter asas dan murah. Sekali gus membentuk segmen paling besar. Pada tahun 2003, Yamaha melancarkan skuter siri MIO yang mendapat sambutan hangat daripada pasaran.  

MIO S dikilang dan dipasarkan oleh pihak PT. Yamaha Indonesia Motor Manufacturing (YIMM). Ia mensasarkan untuk menjual 300,000 unit MIO S dalam tempoh setahun.

Google ads
Back to top button