
4 MOTOSIKAL RIDER MUSNAH TERBAKAR
Empat buah motosikal dipercayai digunakan untuk penghantaran makanan, musnah terbakar di sebuah restoran makanan segera dekat Jalan Kuala Kangsar, Ipoh pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 12.02 pagi.
Dia memberitahu motosikal itu musnah terbakar kira-kira 60 peratus, namun tidak membabitkan mangsa atau sebarang kecederaan.
“Ketika kejadian tiada orang berada di sekitar restoran makanan segera berkenaan dan motosikal dipercayai milik rider restoran makanan segera itu,”
“Sebaik komander operasi tiba di tempat kejadian, api sudah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru,” ujarnya.
Dia menambah punca kebakaran masih dalam siasatan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.39 pagi. –Awani