Motosikal

YAMAHA Y15ZR V2 RASMI DILANCARKAN – 4 PILIHAN WARNA, HARGA UMUM BULAN DEPAN

Seperti yang dihebohkan sebelum ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) akhirnya melancarkan kapcai popularnya, Y15ZR versi V2 secara rasmi ke pasaran Malaysia.

Sedia maklum bahawa jentera tersebut sudahpun dipasarkan di Indonesia dan Vietnam sebelum ini. Sememangnya, versi V2 ini amat ditunggu-tunggu oleh peminat motosikal di sini.

Jentera itu dilancarkan secara rasmi pada acara Kejohanan PETRONAS AMM Cub Prix Pusingan 1 di Jasin, Melaka.

Ia diperkenalkan oleh penunggang pasukan Yamaha Cub Prix iaitu Ahmad Afif Amran, Kasma Daniel Kasmayudin dan Md Akid Aziz yang mendominasi tiga tempat teratas dalam kategori CP150 selama dua tahun. Tidak ketingalan, juara CP115 tahun 2018, Tengku Amirul Haffirudin.

Harganya bagaimanapun hanya diumumkan bulan depan. HLYM juga mengesahkan akan ada kenaikan harga. Bertabahlah…  

Sebagai sebuah model baharu, Y15ZR V2 hadir dengan banyak penambahbaikan yang ketara. Maksudnya, bukan sekadar tukar warna dan grafik sahaja seperti yang biasa diamalkan oleh pengeluar motosikal di negara ini.

Perubahan paling besar tentunya pengunaan lampu utama ‘high low beam’ LED yang lebih nipis bersama tiga kolum berbeza. Mentol lampu LED yang menggantikan mentol halogen itu bukan sahaja menawarkan pancaran cahaya lebih terang, malah lebih tahan lama dan menjimatkan tenaga.

Buat pertama kalinya, jentera itu dipasang dengan lampu isyarat membelok LED.

Sama seperti model-model Yamaha lain yang lebih premium (NVX misalnya), Y15ZR V2 dilengkapi paparan LCD yang menarik. Ia membolehkan penunggang membaca maklumat tunggangan dengan lebih mudah dan jelas.

Kita biasa memarkir motosikal di ruang parkir yang sesak dengan motosikal lain. Kadang-kala, ambil masa juga untuk mengingat lokasi tepatnya. Dengan Y15ZR V2, anda tidak perlu risau kerana ia dilengkapi dengan ciri Answer Lock Key.

Tekan sahaja butang, alat penggera akan berbunyi dan anda boleh mengetahui lokasi motosikal dengan lebih cepat.

Dah macam motosikal berkuasa tinggi, motosikal ini didatangkan dengan suis lampu tinggi untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain di hadapan. Bukan sekadar untuk memotong, tetapi memberi amaran kepada orang lain di atas jalan rata.

Bagi menawarkan tunggangan yang lebih selesa, kapcai itu menggunakan tayar hadapan lebih lebar bersaiz 90/80.

Y15ZR V2 didatangkan dalam 4 warna menarik iaitu merah, biru, kelabu dan striking Cyan. Motosikal ini sudah boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha bermula pertengahan April 2019. Pelanggan juga akan dihadiahkan dengan kunci brek cakera bernilai RM100.

Kami di Mekanika Malaysia yakin ia lebih laris berbanding model terdahulu. Sudah pasti juga ramai pihak yang akan main harga dan yang terbeban tentunya pengguna.

Mungkin sudah tiba masanya keadaan ini diambil perhatian serius oleh pihak berwajib.   

GALERI

Google ads
Back to top button