ABANG BERAS RIDE AMAL BERSAMA SVOCM. JELAJAH SELATAN SEJAUH 1,090 KM LENJAN SUZUKI VSTROM
Biarpun ditemani hujan, ia tidak mematahkan semangat Malaysia Strompers (SVOCM) dan Abang Beras mengharungi perjalanan sejauh 1,090 km dalam Ride 1.0 Jelajah Selatan menunggang jentera Suzuki V-Strom.
Ride 1.0 Jelajah Selatan yang disertai 40 unit jentera dan kira-kira 60 peserta mengambil masa selama dua hari bermula 1 sehingga 2 Januari itu dilaksanakan untuk memberi pendedahan serta pengalaman dalam pengendalian jentera berhemah untuk ahli-ahli berkonvoi.
Bahkan, ia tidak terhenti di situ sahaja, jelajah itu turut memberi peluang kepada semua ahli membantu masyarakat dalam program amal anjuran SVOCM.
Pengasas SVOCM, Mohamad Zaidi Yahya berkata Ride 1.0 Jelajah Selatan merupakan jelajah pembuka tirai tahun ini menjelajah Malaya.
Beliau yang lebih dikenali sebagai TokYah menjelaskan jelajah sejauh 1,090 km itu memakan masa selama dua hari mengharungi perjalanan di lima buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Johor dan Melaka.
“Ketika jelajah ini, pihak SVOCM telah menyerahkan sumbangan berbentuk 10 unit kerusi roda dan 11 unit langsir lipat beroda kepada Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor.
“Kesemua sumbangan berkenaan akan diagihkan di wad-wad hospital terbabit,” katanya.
TokYah menambah SVOCM juga telah melaksanakan kutipan kilat Tabung Bantuan Banjir Kampung Padang Jawa untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir.
Katanya, sumbangan akan dikendalikan ahli SVOCM, Tahar (TR Motorsport) yang merupakan penduduk kampung berkenaan malah rumah serta bengkel miliknya tidak terkecuali mengalami kerosakan teruk.
Ride Jelajah 1.0 mendapat tajaan daripada Suzuki Malaysia, SKF Malaysia, TR Motorsports, Ten Moto, Sin Seng Huat Kapar dan ahli SVOCM.
Dalam pada itu, Eksekutif Jabatan Pemasaran Suzuki Malaysia Sdn.Bhd., Ahmad Radzi Abdul Rahman yang turut serta menyertai jelajah itu berkata ia tanda sokongan Suzuki Malaysia kepada aktiviti-aktiviti dijalankan kelab motosikal Suzuki.
“Jelajah kali ini dirangka dengan baik sekali walaupun terpaksa berdepan cuaca hujan sepanjang perjalanan.
“Ia bukan sahaja memberi pendedahan kepada ahli-ahli dalam pengendalian jentera Suzuki tetapi bersama-sama dalam membantu masyarakat memerlukan terutama apabila dapat memberi sumbangan kerusi roda,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, beliau berharap pihak SVOCM akan terus aktif dalam menjalankan aktiviti-aktiviti di masa hadapan.
Sementara itu, Hos Mekanika, Abang Beras berkata dia menimba banyak pengalaman melalui penglibatan dalam jelajah berkenaan terutama apabila terpaksa mengharungi cuaca hujan sepanjang dua hari.
“Sampai biru tangan meredah hujan. Jentera juga perlu ditunggang dengan penuh berhati-hati berikutan permukaan jalan agak basah dan licin.
“Bahkan, terdapat beberapa laluan yang dilalui dinaiki air kerana musim banjir.
“Begitupun, ia merupakan pengalaman pertama mengikuti jelajah sebegini dan memberi pendedahan serta pengajaran dalam aspek tunggangan jarak jauh,” ujarnya.
Abang Beras memberitahu, jentera V-Strom 650 yang ditunggangi sangat tahan lasak dan mudah dikendalikan apatah ketika permukaan basah.
Suzuki Malaysia menawarkan dua varian Sport Adventure Tourer iaitu V-Strom 650 XT dan V-Strom 1050 XT.
- BACA: TUNER JEPUN DAMD TUKAR ‘MUKA’ SUZUKI EVERY JADI LAND ROVER DEFENDER
- BACA: HELMET 100 TAHUN SUZUKI AKAN MULA DIJUAL JANUARI INI – ADA BONUS TAK TAHUN NI BOSS?
- BACA: MAZDA LANCAR KEI-CAR CAROL DI JEPUN. REBADGE SUZUKI ALTO. 3.6L/100KM, BERMULA RM36.K
- BACA: SUZUKI HAYABUSA 2022 DIPERKENAL, WARNA PUTIH TENANG UNTUK MOTOSIKAL LAJU!