Motosikal

BMW S 1000 R DAPAT REKA BENTUK BAHARU BAGI 2025

Sedar tak sedar, BMW S 1000 R telah pun berusia 10 tahun sejak diperkenalkan pada 2014. 

Jentera ‘hypernaked’ dari BMW itu menjalani dua perubahan sejak diperkenalkan pada 2014, pertamanya pada 2017 dan kemudian naik taraf signifkan pada 2021. 

Empat tahun kemudian, S 1000 R disahkan akan menerima peningkatan baharu berdasarkan pendaftaran rekaan yang telah difailkan di Eropah. 

Dokumen tersebut turut memaparkan rupa baharu S 1000 R 2025 dalam bentuk lakaran 3D. Motosikal tersebut dikenal pasti sebagai S 1000 R dan bukannya M 1000 R berdasarkan beberapa faktor termasuk rim dan panel badan yang lebih minimal serta ketiadaa ‘winglet’ yang menjadi elemen utama pada varian ‘M’. 

Namun begitu, apa yang mencuri perhatian adalah aspek rekaan ‘muka’ depan yang baharu menggantikan rekaan lampu tunggal yang ada pada model sedia ada. Rekaan baharu itu secara tak langsung menyaksikan S 1000 R akan kembali ke DNA asal yang menempatkan dua lampu hadapan seperti model keluaran 2014. 

Menariknya, tinjauan lebih dekat mendapati S 1000 R generasi baharu itu akan memuatkan lampu yang mirip M 1000 RR. Selain itu, turut kelihatan corong udara kecil ditempatkan di antara kedua-dua lampu hadapan. 

Selain itu, versi 2025 ini dijangka akan mengekalkan kebanyakan kelengkapan yang ada pada versi 2021 termasuk casis dan swingarm. 

Sementara itu, kami menjangkakan model 2025 ini juga akhirnya akan dinaik taraf dengan enjin empat silinder 999cc dengan teknologi ShiftCam yang diguna pakai pada S 1000 RR generasi baharu. 

Google ads
Back to top button