Buletin

BYD KEMBANGKAN PENGARUH DI ASIA TENGGARA, MASUK PASARAN THAILAND

Baru-baru ini, pengeluar EV China, BYD telah membuat beberapa langkah besar dalam usahanya untuk pengembangan global. Pembuat kereta itu sebelum ini mendedahkan rancangan untuk memasuki Belanda, selepas memasuki Jepun dengan tiga model.

Malah, syarikat itu telah berpindah ke Australia dan Singapura serta akan menjual kereta BYD di Jerman dan Sweden. Dengan semua ini, BYD telah menunjukkan komitmennya terhadap pengembangan global. Terkini, BYD meluaskan pasaran mereka dengan memasuki pasaran Thailand.

Pada 8 Ogos lalu, BYD mengadakan persidangan jenama di Bangkok dengan kerjasama Rever Automotive. Pada persidangan itu, BYD mengumumkan kemasukan rasminya ke dalam landskap automotif Thailand.

Rever Automotive ialah pengedar kereta yang menumpukan pada kenderaan tenaga baharu. Jadi, ia akan mengedar dan menyediakan perkhidmatan selepas jualan untuk kenderaan BYD di sana.

Selera rakyat Thailand terhadap kenderaan elektrik telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan mendapat sokongan daripada kerajaan menerusi dasar EV yang jelas dan menarik. Menurut kerajaan, EV yang dikeluarkan di Thailand dijangka membentuk kira-kira 30 peratus daripada jumlah pengeluaran kenderaan menjelang 2030.

Ini menjadikan Thailand sebagai satu pasaran NEV yang pesat berkembang di Asia Tenggara dan memberi peluang kepada pembuat kereta seperti BYD.

Walau bagaimanapun, syarikat itu belum mengumumkan model apakah yang akan melakukan debut di Thailand. Namun, terdapat petunjuk bahawa BYD Dolphin, Atto 3, dan BYD Seal mungkin menjadi tiga model pertama yang akan dipasarkan di Thailand.

“Sejak tahun 2018, kami melancarkan kumpulan pertama teksi elektrik tulen di Thailand. Kami akan bekerjasama dengan kerajaan Thailand dan rakan kongsi untuk membawa teknologi dan produk berkualiti tinggi ke pasaran,” kata Pengurus Besar Bahagian Jualan Automobil Asia-Pasifik BYD, Lui Xueliang.

Pratarnwong Phornprapha, Presiden firma pengedaran pula berkata, “Bergantung pada teknologi mesra alam dan ekosistem hijau, Rever komited untuk menyediakan orang ramai dengan penyelesaian tenaga baharu. Ini adalah titik permulaan, peluang baharu dan akan mencipta serta memberi inspirasi kepada kemungkinan baharu.”

BYD turut mengumumkan akan menyertai Pameran Auto Antarabangsa Thailand ke-39 untuk mempamerkan model-model kenderaan mereka. BYD berharap dapat memberikan kekuatan penuh untuk industri automotif Thai dan mempengaruhi pasaran EV secara positif.

Google ads
Back to top button