Motosikal

DUCATI MALAYSIA LANCAR PANIGALE V4/V4 S – BERMULA RM129,900 SEUNIT

Next Bike Sdn. Bhd. (Next Bike) hari ini melancarkan tiga model Ducati baharu ke pasaran tempatan iaitu Ducati Panigale V4 dan V4 S, Multistrada 1260 S serta Monster 821.

“Selaku pengedar rasmi motosikal Ducati di Malaysia, kami sangat mengutamakan minat dan pengalaman para pelanggan.

“Motosikal Ducati juga sesuai ditunggang di atas pelbagai jenis permukaan jalan di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Dato’ Samson Anand George.

Versatil dan dibina untuk kegunaan di litar

Ducati Panigale V4 ialah model produksi massa pertama Ducati yang menggunakan enjin empat selinder. Superbike itu diambil secara langsung daripada MotoGP Desmosedici dan dibina hasil kerjasama rapat dengan Ducati Corse.

Elegan, maskular dan dilengkapi teknologi terkini,  Panigale V4 tampil dengan reka bentuk baru untuk kualiti tunggangan terbaik di litar serta di atas jalan raya biasa.

Panigale V4 mengungguli rangkaian model supersport Ducati dengan prestasi dan mesra penunggang. Jadi, penunggang yang mempunyai kemahiran berbeza boleh menikmati keseronokan jentera ini tanpa sebarang masalah.

Ia dikuasakan oleh enjin Desmosedici Stradale baharu. Sama seperti model Desmosedici GP, Panigale V4 merupakan motosikal paling berkuasa dalam kelasnya dengan 214hp pada 13,000rpm dengan nisbah berat kuasa 1:1.

Tork maksimum 123.5Nm pada 10,000rpm membuatkannya mudah untuk dikendalikan.

Jentera ini dilengkapi pakej ciri kawalan keselamatan elektronik tercanggih yang dikenali sebagai 6-axis Inertial Measurement Unit (6D IMU). 6D IMU terdiri daripada  ciri-ciri seperti ABS Cornering Bosch EVO, Ducati Traction Control EVO (DTC EVO), Ducati Slide Control (DSC), Ducati Wheelie Control EVO (DWC EVO), Ducati Power Launch (DPL), Ducati Quick Shift up/down EVO (DQS EVO) dan Engine Brake Control EVO (EBC EVO).

Ia juga dipasang dengan papan pemuka TFT bersaiz lima inivi, lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang (DRL), mode tunggangan (Race, Sport, Street),  Ducati Data Analyser + GPS (DDA + GPS) dan Ducati Multimedia System (DMS).

Panigale V4 didatangkan dalam warna merah dengan kerangka kelabu dan roda berwarna hitam.

Hadir dengan dengan aksesori dan pakej alat ganti prestasi bagi tujuan naik taraf, Ducati Panigale V4  boleh anda miliki pada harga bermula RM129,900. Manakala  V4 S pula berharga RM169,900 seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button