Motosikal

MOTOGP: LORENZO – MARQUEZ ADALAH PUNCA KEMALANGAN DI ARAGON

Pusingan MotoGP Aragon menyaksikan pelumba Ducati, Jorge Lorenzo terlibat dalam kemalangan High-side seawal pusingan pertama. Bahagian kaki beliau terjatuh dahulu dan pihak doktor mengatakan bahagian jari kakinya terkehel sedikit. Ia dikatakan ekoran kegagalan Lorenzo mengawal gelinciran tayar belakang sewaktu mengambil selekoh pertama.

Lorenzo bagaimanapun telah menyalahkan Marc Marquez atas kemalangan tersebut bila beliau menyatakan Marquez telah merosakkan perlumbaan, kaki dan kemungkinan peluang beliau untuk berlumba di Thailand selepas ini. Lorenzo juga mengharapkan permintaan maaf Marquez dan berharap ia merupakan kali terakhir Marquez melakukannya.

Hmm pelik juga rasanya sebab berdasarkan rakaman video perlumbaan tidak ada sebarang sentuhan antara Lorenzo dan Marquez. Malah pihak Race Director pun tidak mengeluarkan apa-apa arahan ataupun amaran jika terdapat aksi bahaya dilakukan.

Cuma berdasarkan video itu sendiri, Lorenzo dilihat tersasar sedikit ke garisan luar dan kesempatan diambil oleh Marquez untuk memotong dan menguasai garisan perlumbaan. Dengan kata lain Marc memotong dari dalam seterusnya menutup laluan Lorenzo.

Dari kedudukan Lorenzo mungkin beliau melihat Marquez meluncur ke arah garisan beliau dan cuba melakukan halangan dan mungkin akibat terkejut ataupun kealpaan masalah high-side berlaku pada tayar belakang Lorenzo menyebabkan beliau gagal mengawal jentera dan terpelanting ke udara.

BACA: MARC MARQUEZ UNGGUL DI MOTOGP ARAGON, DOVI KECEWA BIARPUN DAHULUI PERLUMBAAN

Lorenzo menyatakan yang Marquez memang mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan garisan perlumbaan orang lain. Tapi rasanya itu perkara biasa dalam perlumbaan kan? Banyak perkara yang tidak dapat diduga akan berlaku. Apatah lagi jika dalam kelajuan tinggi seperti MotoGP.

Marquez sendiri ketika ditanya tentang aksi ‘Block Pass’ beliau di awal perlumbaan menyatakan yang beliau sengaja memasuki laluan luar untuk mengelakkan dari berlanggar dengan pelumba lain dan beliau juga mengaku melihat Lorenzo ketika itu berada dalam garisan luar. Tapi dah namanya pun perlumbaan tiada apa yang dapat beliau lakukan kecuali memerah pendikit untuk segera keluar dari selekoh tersebut dengan pantas.

Bagaimana dengan pendapat anda? Tengok pautan video di bawah dan nilaikan sendiri okey.

 

Google ads
Back to top button