Motosikal

DUCATI MONSTER 1200 25 ANNIVERSARIO EDISI TERHAD – 500 UNIT SAHAJA , RM92,094 SEUNIT

Bagi meraikan ulang tahun ke-25 model ikonik Monster, Ducati baru-baru ini mengumumkan pelancaran model 25 Anniversario.

Didatangkan dalam varian Monster 1200, Ducati menyatakan hanya 500 unit model edisi terhad itu akan dihasilkan. Di United Kingdom, jentera yang akan tiba di pasaran hujung tahun ini ditawarkan pada harga bermula £17,390 (RM92,094) seunit.

Model 25 Anniversario dibezakan menerusi beberapa ciri khas. Antaranya termasuklah pelekat eksklusif bendera Itali pada fairing dan tangki minyak. Tempat duduk pula disulam dengan logo ulang tahun ke-25.

Rim Marchesini dengan jejari berbentuk W berwarna emas menyerlahkan lagi model istimewa ini. Sementara tuil brek, gear dan pemegang plat menggunakan material alumnium.

Pelindung lumpur hadapan dan belakang, penutup lubang kunci dan perumah ekzos didatangkan dalam gentian karbon.

Monster 1200 dikuasakan oleh enjin dua slinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 147hp dan tork maksimum 124Nm. Breknya terdiri daripada cakera Brembo bersaiz 330mm yang dipadankan bersama angkup monoblik Brembo M50.

“Monster diperkenalkan dalam acara persidangan perdagangan Cologne pada tahun 1992 dan produksinya bermula 5 Mac 1993.

“Hanya beberapa tahun sahaja, Monster berjaya mencapai status ikon dalam dunia motosikal,” kata Ducati dalam satu kenyataan.

Google ads
Back to top button