Modifikasi

EVOLUSI NISSAN AD RESORT

Apabila peminat kereta mula mengubahsuai kereta mereka, maka timbul lah spesis-spesis baru yang pelik. Nissan AD Resort milik Asrullah ini mungkin salah satu modifikasi kereta yang cuba lari daripada evolusi biasa.

Di dalam ruang enjin AD Resort ini, enjin asal GA16 1600cc asal dah ditukar kepada enjin SR20DET 2000cc yang diambil daripada half-cut Nissan Pulsar GTiR. Enjin ini tak payah nak ubah suai teruk-teruk untuk masuk ke dalam chasis memandangkan tapak cagaknya sama.

Enjin tadi diubah suai dengan ringan. Penapis udara asal diganti dengan penapis udara A’PEXi jenis pod terbuka. Manakala intercooler top mount asal pula diganti dengan jenis front mount.

Asrullah juga menambah sebuah injap blow-off HKS SSQV dengan pelaras bahan api Works. Kabel-kabel palam pencucuh pun dah diganti dengan kabel berprestasi tinggi daripada Ultra.

Kotak gear asal dimatikan fungsi pacuan empat rodanya. Klac yang datang dengan half-cut diganti dengan klac OEM Nissan. Untuk sistem ekzos, Asrullah menggunakan paip tengah custom 2.5 inci saluran terus dengan peredam bunyi daripada FGK.

Bagi menyelamatkan kereta ini daripada membuai-buai di atas jalan raya, sistem gantungan AD Resort diganti dengan penyerap hentak Kayaba SR daripada Nissan Wingroad Y10.

Penyerap hentak itu dimasukkan di bahagian hdapan. Untuk bahagian belakang pula, penyerap hentak OEM Suzuki Jimny diubah suai dan dipasang pada kereta ini. Komponen yang agak unik ialah strut bar depan yang diubah suai dari strut bar asli Subaru STi! Boleh masuk rupanya strut bar ini, walaupun daripada DNA berbeza.

AD Resort ini dihentikan dengan menggunakan pam brek Pulsar GtiR. Brek hadapan dinaik taraf dengan angkup brek dan cakera Skyline R32. Untuk bahagian belakang, brek gelendong sudah diganti dengan brek cakera yang diubah suai daripada model Nissan Pulsar.

Rim yang digunakan ialah satu set rim Volk Racing CE28 16 inci yang semuanya dibalut dengan tayar-tayar Bridgestone Turanza bersaiz 205/55/16.

BACA – VOLVO 245 WAGON TURBO

BACA – EVO 9 WAGON. RARE!

Modifikasi luarannya sedikit istimewa. Jika pemilik AD Resort lain lebih gemar mengekalkan keaslian Nissan dengan dengan menggunakan barang Nissan semata-mata, Asrullah tidak begitu.

Bagi memastikan AD Resort miliknya tampil berbeza, dia berjaya menggabungkan keseluruhan bampar hadapan Lancer Evo IV kepada chasis AD Resort ini.

Panel hadapan turut menggunakan panel lengkap AD Resort Y11, model facelift pada AD Resort Y10 yang biasa anda tengok. Bonet depan kemudian disalin dengan skup udara asal Pulsar GTiR.

Untuk bahagian belakang, AD Resort ini mengikut evolusi standard dengan menggunakan bonet belakang AD Resort California bersama bampar belakang Y11.

Skirting sisi pula ialah rekaan custom. Spoiler pada bonet belakang diambil daripada Nissan Stagea. Bumbung kereta kemudian ditebuk dan diisi dengan sunroof yang diubah suai daripada Toyota Harrier. Rak bumbung buatan Rack Master dipasang,  aksesori yang cukup sesuai dengan kereta wagon macam ini.

Melihat bahagian dalam, Nissan AD Resort ini menggunakan papan pemuka Nissan Wingroad dengan stereng OEM Nissan Pulsar. Semua tempat duduk belakang pun dah diganti dengan barang dari Nissan Wingroad..

Sebagai bukti enjin kereta ini dah guna turbo, sebuah meter boost A’PEXi dengan turbo timer dari Blitz boleh dijumpai pada papan pemukanya. Satu set gugusan meter separuh DIN daripada Pulsar GTiR digunakan yang memberi bacaan boost, tekanan pelincir dan suhu pelincir.

Setelah melihat kereta ini, siapa kata evolusi yang pelik tak menarik perhatian?

GALERI

Google ads
Back to top button