
EVOLUSI PROTON SATRIA GTi – SANG NILA UTAMA
Kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Kerana Satria GTi warna nila baju sekolah ni, habis berpinau mata dibuatnya. Merelit sungguh dan ia tidak diphotoshop untuk kelihatan begitu rupa. Memang ginilah warnanya kalau tengok depan mata.
Pemilik kereta ni nama Kamarul yang juga merupakan pomen di ABC Garage, sebuah bengkel terkenal di Bandar Ikan Patin. Dah nama pun pomen, apa barang pakai kereta standard kilang.
BACA: SATRIA GTi, HERO MALAYA SEBENAR!
Selain untuk kepuasan diri, ia turut dijadikan bahan projek untuk mempromosikan perkhidmatan modifikasi di bengkelnya. Tunjuk sikit apa boleh buat, baru boleh market.
Unsur estetika juga disumbangkan oleh kit badan Satria GTi yang asal. Jujurnya memang ini yang paling lawa dan masih diburu pemilik Satria lain. Ia kemudian diperkemaskan dengan lip depan R3, cermin sisi Ganador kustom, termasuk komponen karbon fiber untuk fender, spoiler dan penutup tangki minyak. Baru ringan sket!
BACA: PROTON PUTRA KUASA MIVEC
Walaupun jarang-jarang “bersukan”, peningkatan di bahagian enjin tetap menimbulkan rasa runsing. Dikuasakan oleh enjin 4G63T, senarai naik taraf meliputi penggunaan piston Wiseco HD 86mm, conrod BC 156mm, galas enjin King Bearing, serta crankshaft EVO VI. Bahagian kepala silinder menerima rawatan port & polish, termasuk penempatan camshaft GSC 274° dan cam pulley kustom.
Nampak peti ais kat bumper depan tu? Memang sajalah kalau tak nak bagi laluan. Intercooler setebal 4-inci jenis HKS Type GT tu digunakan untuk menyejukkan mampatan boost dari turbo Garrett GT35 yang digantung pada manifold turbo Force Performance. Disertakan juga wastegate Sard 60mm, injap pelepas HKS SSQV, serta paip sambungan jenis aloi sepenuhnya.
Enjin dengan setup sehebat ini, wajib disertakan dengan suapan bahan api secukupnya. Menggunakan pam petrol Walbro 400, ia dibawa ke rel bahan api Works Engineering sambil tekanannya dikawal oleh unit regulator Sard. Suntikan ke kebuk pembakaran pulak diserahkan kepada set injektor ID 1000cc sebelum diletuskan oleh koil jenis COP dari enjin K20.
Terpampang di belakang bonet adalah kit water-methanol dari AEM, yang menjadi salah satu resepi penting kepada kereta ini. Bukan saja membantu mengurangkan suhu enjin, tapi turut mengelak situasi letusan pra matang ketika boost tinggi. Bagi melengkapkan proses pembakaran enjin ini, unit ECU kini menggunakan perisian jenis Link G4 Plug-In. Patut ada bunyik pelepapp pap!
BACA: CADANGAN MODIFIKASI PROTON WIRA
Bersama enjin ini adalah kotak gear Mitsubishi Eclipse yang dipadankan dengan klac plet berkembar OS STR, sebelum kuasanya dipindahkan ke rim Volk Racing TE37 bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar Yokohama S Drive. Kuasa hentian nampaknya masih lagi standard. Manakala sektor pengendalian mendapat sentuhan set suspensi boleh laras jenis Tein Type Flex.
Belah dalam cukup sempoi dengan komponen asal Satria GTi. Komponen asing lain pun ada jugak macam meter utama EVO, stereng Momo, armrest telor, tuas gear Beatrush serta tempat duduk kepit Recaro SPG di bahagian pemandu. Aspek pemantauan pulak datang dari gugusan meter Defi yang tertenggek elok di tengah papan pemuka.
Kan seronok bila hobi jadi kerjaya. Lagi-lagi kalau ada bengkel sendiri macam Kamarul…
Spesifikasi
Pemilik Kamarul Ain
Pengeluar Proton
Model Satria GTi
Tahun 1999
Enjin asal 4G93
Modifikasi Enjin 4G63T, piston Wiseco HD 86mm, conrod BC 156mm, galas enjin King Bearing, crankshaft EVO VI, port & polish kepala silinder, camshaft GSC 274°, cam pulley kustom, intercooler HKS Type GT, turbo Garrett GT35, manifold turbo Force Performance, wastegate Sard 60mm, injap pelepas HKS SSQV, paip intercooler aloi, pam petrol Walbro 400, rel bahan api Works Engineering, regulator Sard, injektor ID 1000cc, coil-on-plug K20, kit water-methanol AEM, ECU Link G4 Plug-In, radiator Koyorad, tangki perangkap minyak kustom
Transmisi Kotak gear Mitsubishi Eclipse, klac plet berkembar OS STR
Ekzos HKS
Luaran Kit badan Satria GTi, lip depan R3, cermin sisi Ganador kustom, fender, spoiler & penutup tangki minyak karbon fiber
Suspensi Tein Type Flex
Brek Standard
Rim & Tayar Volk Racing TE37 16-inci & Yokohama S Drive 205/50R-16 (depan), 205/55R-16 (belakang)
Dalaman Meter utama EVO, stereng Momo, armrest telor, tuas gear Beatrush, tempat duduk Recaro SPG, meter tambahan Defi
Bengkel ABC Garage, Temerloh
-PAK MAUN-
KREDIT: KAKIKERETA.COM
GALERI