HAFIZH BUKA KEDAI GUNTING RAMBUT DI AMPANG. JOM SUPPORT!
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Hafizh Syahrin Abdullah kini melibatkan diri dalam dunia perniagaan apabila membuka sebuah kedai gunting rambut.
Menurut Hafizh, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk memulakan perniagaan sendiri. Ia dilihat sebagai peluang kepada dirinya untuk menjana pendapatan selepas tidak lagi aktif dalam sukan permotoran pada masa akan datang.
Menjadi francaisi kepada rangkaian kedai gunting rambut Nimroc Barbershop, premis ity terletak di Taman Dagang, Ampang. Ini merupakan selepas di Shah Alam, Danau Kota, Taman Maluri dan Damansara Perdana.
“Assalamuailaikum Hi semua! Dengan bangganya, saya nak announce tentang new business venture saya iaitu Nimroc Barbershop Taman Dagang, Ampang. Terima kasih kepada @ardydamis dan @nimrocbarbershop atas peluang ini.
“Jadi, untuk geng Ampang dan yang berdekatan jom ramai-ramai datang kalau korang nak dapatkan servis gunting rambut yang paling ngam! Korang boleh datang mulai 11.11.2020 ni!
p/s: Nak tahu kat mana? Korang waze je Nimroc Taman Dagang. Bersebelahan dengan Bank Rakyat Ampang. – tulis Hafizh di laman Instagram miliknya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Nimroc Barbershop, Ardy Damis memberitahu pihaknya menawarkan peluang membuka kedai gunting rambut kepada Hafizh kerana pelumba itu merupakan setianya sejak beroperasi pada tahun 2011.
“Bermula tahun ini, kami putuskan untuk kembangkan perniagaan kami. Jadi Hafizh Syahrin ialah individu terawal yang kami tawarkan untuk buka francais pertama bersama Nimroc,” kata usahawan berusia 33 tahun itu.
Berbicara tentang perkembangan kerjayanya dengan pasukan baharu, NTS RM Racing GP untuk musim 2021, Hafizh berharap dapat mencari keserasian terbaik dengan jentera NTS semasa sesi ujian rasmi Moto2 dan Moto3 yang bakal berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol dari 16 hingga 18 Mac depan.
Pelumba berusia 26 tahun itu mengakui dia bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera tersebut berikutan hujan lebat ketika menjalani ujian sulung di litar sama bulan lalu. Keadaan itu membuatkannya hanya mampu berada di tangga ke-10 keseluruhan selepas 71 pusingan.
Hafizh Syahrin menyatakan memang ada kelebihan dan kekurangan pada jentera berkenaan berbanding beberapa jentera lain termasuk Kalex, MV Augusta dan Speed Up yang digunakan pasukan Moto2 pada musim lalu.
“Sukar untuk saya ulas kerana ini tahun ketiga jentera NTS bersaing (dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia). Namun saya nampak jentera ini semakin bagus bermula dengan GP Austria sehingga penghujung musim ini.
“Saya percaya jentera ini akan menjadi pencabar seperti Kalex dan Speed Up pada masa akan datang,” katanya.
Hafizh juga tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi dalam penampilan sulung bersama pasukan berkenaan. Tetapi menyifatkan kutipan mata pada setiap perlumbaan yang bakal disertainya merupakan satu bonus.
Hafizh Syahrin menduduki tangga ke-21 dengan mengutip 21 mata daripada 15 perlumbaan yang disertainya ketika mewakili pasukan Aspar Team Moto2 musim ini. – BERNAMA, Berita Harian