Stail

THE HOBBIT – SARAT MESEJ TERSIRAT

Judul: The Hobbit: The Desolution of Smaug
Genre: Fantasi, pengembaraan, aksi
Pengarah: Peter Jackson
Pelakon: Ian McKellan, Martin Freeman, Orlando Bloom, Richard Armitage, Cate Blanchett, Ian Holm, Hugo Weaving, Billy Connoly, Christopher Lee, Aidan Turner, Andy Serkis, Benedict Cumberbatch, Evangeline Lilly, Lee Pace, Luke Evans, Elijah Wood.
Bintang: *** (tiga bintang) 

hib-2hobbit5

Info penting yang harus difahami sebelum menonton karya terbaharu arahan Peter Jackson ini adalah The Hobbit: The Desolution of Smaug merupakan sekuel kepada The Hobbit: An Unexpected Journey (2012). Ia merupakan siri kedua dalam trilogi The Hobbit sebelum dilengkapkan dengan siri ketiganya, The Hobbit: There And Back Again yang dijadual ditayangkan menjelang hujung tahun 2014.

Trilogi The Hobbit ini sebenarnya merupakan prekuel kepada trilogi filem blokbuster Lords of the Rings. Justeru, bagi yang tidak pernah menonton The Hobbit: An Unexpected Journey, jangan pelik apabila The Hobbit: The Desolution of Smaug kembali memaparkan karakter- karakter yang pernah muncul menerusi trilogi Lords of the Rings.

hib-2hobbit7

Gandalf (lakonan Ian McKellan), Bilbo Baggins (Martin Freeman), Legolas (Orlando Bloom), Galadriel (Cate Blanchett) dan Thorin Oakenshield (Richard Armitage) merupakan antara karakter yang kembali mewarnai The Hobbit: The Desolution of Smaug yang turut dimeriahkan dengan beberapa karakter baharu terutama Tauriel (Evangeline Lilly).

Memfokus tentang Bilbo pada usia remajanya yang menyertai Gandalf dan 13 orang kerdil yang diketuai Thorin dalam misi untuk merampas kembali kerajaan kaum orang kerdil, Erebor daripada sejenis naga sakti yang ganas dikenali sebagai Smaug.

hib-2hobbit11

Jalan cerita yang kedengaran agak ringkas itu juga tampil klise apabila dalam misi tersebut, Bilbo dan yang lain terpaksa menghadapi pelbagai rintangan sebelum berhadapan dengan Smaug. Ini termasuklah perlu merentasi beberapa zon bahaya seperti Misty Mountains dan Mirkwood Forest sebelum sampai ke Lonely Mountain – lokasi Smaug bersarang.

Klise. Namun apabila ditangani pengarah kreatif seumpama Peter Jackson, The Hobbit: The Desolution of Smaug dikembangkan dengan agak menarik dan hasilnya kelihatan hebat – setidak-tidaknya berbanding The Hobbit: An Unexpected Journey yang sekadar dipenuhi pelbagai makhluk ganjil dan ganas, tetapi kurang impak lantaran elemen dramanya tidak cukup dirasai.

hib-2hobbit10

Jika permulaan The Hobbit: An Unexpected Journey bermula dengan agak perlahan bagi membolehkan karakter Bilbo pada usia remaja diperkenalkan kepada audiens, The Hobbit: The Desolution of Smaug pula terus sahaja mencetus adrenalin apabila ia dimulakan dengan babak aksi pertarungan seumpama ia adalah adegan kemuncak filem.

Ini merupakan antara faktor yang membuatkan The Hobbit: The Desolution of Smaug tampak lebih hidup berbanding The Hobbit: An Unexpected Journey. Selebihnya karya ini, sepertimana juga trilogi Lords of the Rings diperkuatkan oleh jalinan karakter-karakter yang muncul silih berganti serta latar filem – pemandangan alam sekitar memukau pandangan yang merupakan antara kepakaran utama Peter Jackson menerusi karya-karya arahannya sebelum ini.

hib-2hobbit8

Penampilan Tauriel yang digambarkan berhadapan dengan pelbagai dilema dan masalah seperti cinta terlarang, sukses dalam menyuntik impak yang sangat berbekas, terutama dari segi emosi. Emosi yang tersirna daripada Tauriel amat mendalam dan menujah terus ke lubuk hati.

Merujuk kembali kepada fakta asas trilogi Lords of the Rings dan dua siri The Hobbit yang telah ditampilkan di layar perak, ia merupakan adaptasi buku karya J.R.R. Tolkien yang dihasilkan khusus untuk kanak-kanak.

hib-2hobbit2

Jika trilogi Lords of the Rings ditampilkan agak ganas dan kurang sesuai untuk kanak-kanak, namun seperti The Hobbit: An Unexpected Journey, karya The Hobbit: The Desolution of Smaug ini secara amnya ditampilkan lebih lembut.

hib-2hobbit9

Di sebalik momen-momen menakutkan yang tersurat dalam The Hobbit: The Desolution of Smaug nyata cukup ‘hidup’ dan sarat dengan mesej-mesej tersirat tentang nilai-nilai kehidupan bahawa hidup ini adalah sesuatu yang cukup berharga. Ia perlu diraikan dan dihargai selagi hayat dikandung badan. – YUSMAN AWANG

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Check Also
Close
Back to top button