Pandu Uji

HONDA SENSING PADA CR-V SERBA BAHARU – TAWAR PEMANDUAN LEBIH SELAMAT

CR-V merupakan salah satu model penting dan laris buat Honda. Dijual di lebih 130 buah negara di seluruh dunia, ia telah mencatat jualan kumulatif sebanyak 8.7 juta unit sehingga Januari 2017. 

Di Malaysia, SUV tersebut mula dijual menerusi generasi kedua pada tahun 2002. Ketika itu, jualan yang dicatatkan adalah sekitar 11,684 unit. Angka itu terus meningkat untuk CR-V generasi ketiga dengan 25,966 unit.

Generasi keempat meneruskan dominasi CR-V dalam segmen SUV apabila merekodkan jualan sebanyak 30,432 unit dalam tempoh 2012 hingga 2016.

Kini, sudah tiba masanya untuk Honda Malaysia memperkenalkan CR-V generasi baharu. Jentera itu dikatakan menawarkan pakej terbaik dari segi rekaan luaran, prestasi dinamik, ruang kabin dan ciri termaju berkualiti tinggi.

Sebagai sebuah model generasi baru, pembaharuan yang diterima oleh CR-V memang signifikan. Dari segi luaran, rekaannya kini lebih garang dan menarik. Ia dapat dibezakan dengan mudah menerusi lampu belakang yang membuatkannya kelihatan lebih lebar.

Kami tidak dibenar untuk menyiarkan foto ruang kabinnya. Tetapi, cukuplah jika saya katakan bahawa kokpit CR-V lebih kemas, mewah dan premium berbanding generasi sebelumnya.

CR-V bakal dipacu oleh dua pilihan enjin iaitu DOHC pancitan terus VTEC Turbo bersesaran 1.5L dan enjin 2.0L SOHC Port Injection i-VTEC. Ya. Itu adalah enjin sama yang dipasang pada Civic Turbo. Tetapi ia menggunakan pengecas turbo baharu bagi menjana lebih kuasa dan tork untuk disesuaikan dengan karekter SUV berkenaan.

Hasilnya, enjin 1.5 Turbo itu mampu menjana kuasa 193 PS dan tork 243Nm, berbanding 173PS dan tork 220Nm pada Civic. Kedua-dua enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT untuk pemanduan yang lancar serta menjimatkan bahan api.

Dijangka dilancarkan secara rasmi selepas Hari Raya Aidilfitri, Mekanika Malaysia telah dijemput untuk menghadiri satu sesi pandu uji ringkas jentera tersebut di satu lokasi yang agak terpencil di Putrajaya.

Sesi pandu uji itu dimulakan dengan menguji dinamik pemanduan, pecutan, daya membrek dan slalom mengggunakan CR-V 1.5L dan CR-V 2.4L generasi sebelumnya. Saya mulakan dengan memandu CR-V 2.4L. Walaupun sesaran enjinnya lebih besar, ia terasa sedikit berat ketika memecut, tujahan kuasa agak lambat, selain memerlukan jarak lebih jauh untuk berhenti sepenuhnya.

Sebaliknya, CR-V baharu dengan enjin 1.5L Turbo mampu memecut dengan lebih pantas. Pertukaran gearnya juga memuaskan dengan jarak membrek jauh lebih pendek dan meyakinkan.

Pada ujian slalom, kedua-dua model itu bagaimanapun menawarkan dinamik pengendalian yang tidak jauh berbeza. Sterengnya tepat dan mudah dikawal. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk anda suka dengan CR-V ini.

Perkara itu sudah kami jangka. Apa yang lebih penting dalam sesi pandu uji itu adalah pengenalan rangkaian teknologi bantuan pemandu yang Honda rangkumkan sebagai Honda Sensing.

Secara ringkasnya, Honda Sensing terdiri daripada tiga komponen dengan setiap komponen tersebut mempunyai dua atau tiga ciri tersendiri padanya. Kami mulakan dengan menguji ciri pengelakan pelanggaran sisi atau Side Collision Deterrence. Berfungsi untuk mengelak pelanggaran dari arah sisi, ia mempunyai tiga sub ciri iaitu Lane Departure Warning (LDW), Road Departure Mitigation (RDM) dan Lane Keep Assist System (LKAS).

Sistem itu berfungsi begini. LDW akan memantau posisi garis jalan pada bahagian kiri dan kanan menggunakan kamera monokular yang dipasang pada bahagian atas cermin utama. LDW berada dalam mode standby dan ketika lampu isyarat membelok tidak digunakan. Ia beroperasi pada kelajuan 72 hingga 180km/j.

Apabila LDW mendapati kenderaan bergerak ke arah kiri atau kanan tanpa sebab, mungkin kerana mengantuk atau berangan, ia akan memberi amaran. Namun, jika tiada input diterima daripada pemandu, RDM akan diaktifkan.

RDM akan menggegarkan sedikit stereng sebelum menarik stereng dengan lembut sebelum LKAS mengambil peranan memastikan supaya kenderaan kembali berada di tengah laluan.

Bagi komponen bantuan pemanduan (Driver Crusing Aid) pula, saya diminta untuk mengekori sebuah CR-V di hadapan. Ada dua ciri pada Driver Crusing Aid iaitu Adaptive Cruise Control (ACC) dan Low-Speed Follow (LSF). ACC membolehkan anda menetapkan had kelajuan dalam julat 30 hingga 180km/j dan jarak selamat dengan kereta di hadapan.

LSF sangat berguna apabila anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Selepas diintegrasikan dengan ACC, kereta akan bergerak dan membrek pada jarak yang selamat dengan kereta hadapan secara automatik tanpa anda perlu menekan brek atau pendikit minyak.

Pada awalnya, anda mungkin akan berasa sedikit janggal. Tetapi, lama-kelamaan anda pasti rasa bahawa ciri ini sangat membantu dan mengurangkan penat memandu. Memang terbaik!

Komponen terakhir, pengelakan pelanggaran hadapan (Frontal Collision Deterrence) merangkumi ciri Forward Collision Warning (FCW) dan Collision Mitigation Braking System (CMBS).

FCW dan CMBS berfungsi untuk mengelak dan mengurangkan impak akibat pelanggaran secara berdepan. Jadi, FCW akan mengesan jarak kenderaan di hadapan menggunakan radar gelombang militer yang dipasang pada bahagian bawah logo Honda. FCW akan mengeluarkan amaran visual dan bunyi jika ia mengesan wujudnya risiko pelanggaran.

Jika pemandu tidak memberi sebarang maklum balas, CMBS akan mengambil alih dengan menekan brek. CMBS juga akan membrek kenderaan apabila ia mengesan objek yang bergerak di hadapan CR-V.

Dengan Honda Sensing, Honda menjadi pengeluar kenderaan Jepun pertama yang menawarkan teknologi itu kepada produk massa. Teknologi seumpamanya memang sudahpun ditawarkan kepada pengguna, tetapi oleh pengeluar kenderaan premium seperti Volvo dan  Mercedes-Benz. Disebabkan harganya yang mahal, ia tidak dapat dimiliki oleh ramai orang.

Biarpun Honda Sensing cukup canggih, Honda Malaysia bagaimanapun berulang-ulang kali menegaskan bahawa ia hanyalah sistem bantuan kepada pemandu. Dalam erti kata lain, pemandu tetap bertanggungjawab sepenuhnya ketika mengendalikan kenderaan.

Sudah tentu, Honda Sensing akan ditawarkan pada varian tertinggi CR-V. Tetapi dengan semua kemudahan yang ditawarkannya, ia pasti boleh menjadi pembelian yang berbaloi. Bagi yang berminat, tempahan untuk CR-V sudahpun dibuka sejak 1 Jun lalu. Tidak perlu bimbang, anda pasti berpuas hati dengannya.

GALERI

Google ads
Back to top button