
Menjelang pelancarannya yang dijadualkan dua hari lagi, kami menerima lagi set foto yang paling jelas setakat ini. Seperti yang dapat anda lihat dalam imej, ia adalah sebuah Modenas Kriss MR2 tanpa sebarang penyamaran yang juga menandakan hari pelancarannya semakin dekat.
Tidak seperti foto intipan yang pernah kami siarkan pada 29 Mac dan 31 Mac lepas dengan pelekat penyamaran, imej yang lebih jelas kali ini menunjukkan rupanya sebenar. Jika anda cuba lihat dari sisi, ia sempurna bagi sebuah kapcai yang akan dijual sebagai model asas.
Bahagian sisinya dipisahkan dengan dua bahagian berbeza. Bahagian belakangnya lebih sporty (tajam dan tak terlalu gemuk), lampu belakangnya kelihatan sedikit tersorok dan menguncup. Secara peribadi, kami suka bentuk lampu begini berbanding pada CT115S yang nampak tak kena pada badannya.
Ya. ini adalah model yang akan diletakkan sebagai model paling bawah dalam rangkaian motosikal underbone. Seperti legasi Modenas Kriss tahun 1990-an, kami yakin motosikal ini akan boleh dijual tanpa masalah.
Antara spesifikasi yang boleh dilihat, ia dilengkapi brek cakera hadapan, rim aloi (yang berkemungkinan besar dengan tayar tanpa tiub), sistem penghidup elektrik serta rekaan badan moden. Khabarnya, moped ini akan dijual pada harga sekitar RM3,500- RM4,000 seunit. Tetapi apa yang lebih penting, ia membawa legasi Kriss, motosikal ‘pertama’ kebanyakan rakyat Malaysia.