JANGAN PANDANG SEBELAH MATA – T3 B32 INI IALAH SEBUAH PORSCHE YANG ERR…BERKOTAK
Harga USD364K (RM1.6J lebih kurang) mungkin nampak tak masuk akal untuk sebuah Volkswagen T3 Transporter. Tapi jangan pandang dengan sebelah mata kerana di sebalik rupa paras yang nampak agak mendung tu, ia sebenarnya ialah sebuah Porsche yang sejati. Model rare pulak tu.
Kisah van ini bermula sekitar tahun 1985 bila para jurutera Porsche memerlukan sebuah kenderaan yang sesuai untuk memunggah alat-alat ganti kereta rali 959 mereka dalam perlumbaan Paris-Dakar. T3 menjadi pilihan tetapi ia tidak mempunyai kuasa yang cukup untuk berkhidmat dalam dunia rali. Jadi mereka memilih untuk melakukan modfikasi pada VW T3 ini.
Modifikasi paling utama ialah menggantikan enjin asal dengan enjin flat-six yang diambil dari Porsche 911 Carrera 3.2 yang mampu menghasilkan 228 hp kuasa maksima. Kuasa disalurkan ke gandar belakang menggunakan kotak gear Porsche. Sistem suspensi bahru turut dipasang selain brek yang lebih baik agar bersesuaian dengan pertambahan kuasa baharu itu. Kini T3 ini mampu memecut sehingga kelajuan maksima 185 km/j.
B32 dibezakan dari Transporter biasa oleh skirting hadapan dan belakang, rim sports 16 inci keluaran Fuchs, sirip ventilasi tambahan di bahagian sisi dan paip ekzos yang lebih besar.
Bahagian dalam turut diberi kemasan kulit dan yang paling menonjol sekali semestinya ialah roda stereng dengan logo Porsche selain meter-meter tambahan pada bahagian bawah konsol tengah.
Dipercayai cuma 7 unit VW T3 B32 seumpama ini wujud di atas dunia dan dihasilkan di workshop Porsche di Welcherath. Unit yang ditawarkan untuk jualan ini dipercayai dihasilkan khusus untuk Peter W Schutz yang merupakan CEO Porsche pada waktu itu.
Patutlah mahal betul harganya. Dah la ia sebuah model yang unik lagi rare, unit ini pernah pula dimiliki oleh CEO Porsche sendiri. Kalaulah ada duit lebih boleh sangat beli ni simpan buat kenangan.