Motosikal

KEBOLEHLAKSANAAN PERKHIDMATAN TEKSI MOTOSIKAL – MIROS JALANKAN KAJIAN DALAM TALIAN

Seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini, jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 21 Ogos 2019 telah bersetuju supaya perkhidmatan ride-hailing berasaskan motosikal dibenarkan untuk melaksanakan Proof Of Concept (POC) di Malaysia.

Namun, keputusan mengenainya hanya akan dimuktamadkan setelah kajian terhadap aspek-aspek penting lain dikaji terlebih dahulu.  

Justeru, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Pengangkutan untuk menjalankan kajian. Ini bagi mengenal pasti tahap penerimaan pengguna jalan raya terhadap kebolehlaksanaan perkhidmatan teksi motosikal di negara ini.

Ia meliputi aspek keselamatan jalan raya, perundangan, aliran trafik, ekonomi, keselamatan sosial, kesihatan, budaya serta peralihan mod pengangkutan.

Kajian Persepsi Pengguna Jalan Raya Terhadap Kebolehlaksanaan Perkhidmatan Teksi Motosikal akan bermula pada 29 Ogos 2019 hingga 7 September 2019 secara atas talian di pautan http://its.miros.gov.my/kajianteksimotosikal/

Hasil dapatan daripada kajian ini akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan bagi merangka mekanisme pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal di Malaysia.

Kumpulan sasar bagi kajian ini adalah kepada penunggang motosikal dan orang awam. Jadi, orang awam dijemput untuk menyertai kajian ini seterusnya menyuarakan pendapat dan pandangan tentang pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal di Malaysia.

Google ads
Back to top button