Modifikasi

KIA OPTIMA PERFORMANCE JB

Sekitar tahun 2005, saya hampir membeli sebuah Kia Optima. Semuanya kerana  kecewa dengan seorang penjual Honda yang membatalkan transaksi sedan Accord pada saat akhir.

Kia-Optima-performance-mekanika (10)

Saya masih ingat, ketika itu saya baru sahaja menjual Civic dan tiada kereta dalam seminggu. Ke hulu ke hilir mencari kereta yang hendak dibeli, saya akhirnya berhenti di sebuah pusat edaran Kia dan melihat kereta ini.

Masa tu, Kia Optima memang banyak stok dan boleh dapat dalam tempoh dua hari bekerja saja. Spesifikasinya menarik, CBU, enjin, sunroof dan pelbagai ciri yang tak ada pada kereta dalam kelasnya. Harga pun tak mahal, kalau tak silap sekitar RM100,000 sedangkan Proton Perdana V6 pun lagi mahal!

Kia-Optima-performance-mekanika (3)

Tetapi akhirnya saya tidak beli, sebab saya jenis yang tidak suka pandu sesebuah kereta dalam tempoh yang lama. Beli Kia alamatnya memang tempah penyakit. Harga kereta Korea zaman ini masih tidak mesra pengguna. Lihat sahaja di laman web jual beli sekarang berapa harga jualan model terpakai ini. RM15,000 je der…

Susut nilai yang teruk bukan bermakna kereta itu tidak bagus. Banyak faktor, antara punca utamanya ialah permintaan yang rendah. Apabila permintaan rendah, ia beralih kepada mereka yang benar-benar mahukan kereta untuk nilai wang yang dibayar. Sama kesnya dengan pemilik kereta ini. Wang yang dibayar untuk memiliki sebuah Optima terpakai sama dengan nilai sebuah Viva sahaja. Jadi tunggu apa lagi?

Kia-Optima-performance-mekanika (9)

Sejak memilikinya setahun yang lalu, pemilik telah memilih untuk menggunakannya sebagai kereta harian untuk satu tempoh masa yang lama. Tidak menunggu lama, dia mengambil keputusan untuk meningkatkan kemampuan sistem audionya. Ia bermula dengan penukaran pemain asal, kemasukan sub 12 inci dengan kotak aftermarket dan speaker yang entah jenama apa.

Setelah bergaul dengan kelompok peminat audio JB, seleranya semakin besar. Rombakan mula dibuat dengan memasang pemain Pioneer DEH4350 dengan kelajuan bit yang lebih baik dan fungsi DVDu. Dari pemain ini, ia disambungkan kepada pre-amp Performance PQ-4 yang dipasang di bahagian bawah konsol papan pemuka. Agak tersorok tetapi masih mudah dicapai untuk penalaan.

Kia-Optima-performance-mekanika (7)

Pre amp ini membahagikan destinasi audionya kepada tiga buah amplifire iaitu Horizon HR80.4, HR60.2 dan Performance PF2400. Power amp Horizon HR80.4  yang berkemampuan dengan keluaran 4 saluran, bertugas memantapkan penghasilan bunyi untuk speaker komponen Horizon 6 inci pada panel pintu hadapan. Manakala sepasang lagi dipadankan dengan papan speaker belakang untuk menyokong bunyi dalaman.

Ruang but kereta ini nampak elegan dengan penggunaan bahan pvc putih. Sub asal 12 inci yang dipasangkan sebelum ini telah digantikan dengan sub Performance HRDD12 12 inci yang diletakkan di dalam kekotak baru yang lebih kedap bunyi.

Kia-Optima-performance-mekanika (12)

Sub ini dikuasakan oleh amplifire Performance PF-2400. Sepasang midbass dan tweeter dilekapkan pada bahagian kotak woofer di bahagian but tadi yang mendapat bekalan kuasa daripada power amp Horizon HR60.2.

Dekorasi di bahagian but ini sangat kemas dengan penggunaan konsep yang unik. Di bahagian lantai but ialah sepasang lapisan cermin yang membalikkan imej dari sub woofer tadi.

Kia-Optima-performance-mekanika (6)

Justeru, secara ilusinya kelihatan banyak sub, padahal, hanya sepasang sahaja. Di tengah lantai ditanam dengan botol minuman dan dilapisi cermin jernih, satu modifikasi lazim yang dibuat oleh pencinta VIP.

Di sudut kiri dan kanan but juga dilengkapi dengan arca botol minuman dan gelas yang menyerlahkan imej VIP yang cuba dibawa. Akhir sekali, penggunaan lampu LED yang samar dipadankan pada garis binaan kotak dan rantaian plat cermin.

Kia-Optima-performance-mekanika (13)

Kereta ini tidak ekstrem, tiada yang menarik jika dilihat pada reka bentuk luarannya yang ringkas tanpa bodykit keterlaluan. Tetapi, sebaik anda melihat butnya, ia boleh dihargai. Anda dapat menilai bahawa kereta-kereta audio tidak semestinya perlu dibina dengan bodykit setaraf kapal angkasa.

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button