Motosikal

KTM MALAYSIA LANCAR KTM 790 DUKE “THE SCALPEL” KE PASARAN MALAYSIA – RM64,800 SEUNIT   

Selepas empat tahun dan 18 konsep dalam R&D, KTM 790 DUKE yang dkenali sebagai “The Scalpel” sedia untuk bersaing dalam kategori naked middle weight.

Tampil dengan rekaan cukup agresif, KTM 790 DUKE mengambil inspirasi gayaan model KTM 1290 SUPER DUKE R menerusi lampu utama LED yang unik dan flank pada tangki minyaknya.

Enjin serba baharu penuh kuasa

Jentera itu dikuasakan oleh enjin serba baharu LC8c 799cc DOHC lapan injap, palam pencucuh untuk setiap selinder, parallel twin dengan sistem penyejukan cecair yang pertama buat KTM. Enjin ini nyata lebih kompak, ringan dan memberi agihan berat lebih baik.

Ia mampu menjana kuasa 105hp dan tork maksimum 87Nm pada 8,000rpm yang dikawal oleh sistem ride-by-wire serta bantuan elektronik termaju. Ini membolehkan KTM 790 DUKE yang ringan lebih praktikal untuk tunggangan setiap hari. Lebih menarik lagi, motosikal ini menawarkan penjimatan bahan api dan kurang emisi.  

Klac PASC

KTM 790 DUKE dilengkapi Power Assist and Slip Clutch (PASC) KTM. Slipper clutch ini dibuka apabila brek enjin menjadi terlalu tinggi dan berfungsi mengelakkan roda belakang daripada terjungkiy apabila kelajuan diturunkan atau membrek secara mendadak.  

Klac yang boleh dioperasi dengan hanya satu jari itu juga membantu penunggang untuk memecut dan menukar kedudukan gear dengan pantas.

Kerangka

Jentera ini dibina di atas kerangka tubular chrome-molybdenum yang dipotong menggunakan lazer dan dipateri oleh robot. Ia bukan sahaja menjanjikan geometri chasis yang cemerlang, malah menggunakan enjin sebagai elemen pemegang berat.

Sekali gus menjadikannya lebih kukuh dan tegar, pada masa yang sama menggunakan kurang material.

Suspensi

Tetapan suspensi WP 43mm jenis fork upside-down bukanlah sesuatu yang biasa dalam segmen ini. Ia menggunakan teknologi fungsi terpisah di mana kepadatan dan lantunan semua peredam berlaku pada kaki fork yang berbeza.  

Pegas gegelung progresif pada fork ini membolehkan kadar kekerasannya bergantung kepada sebanyak mana ia ditekan. Roda belakang pula menggunakan penyerap hentak WP bantuan gas yang boleh dilaras.

Brek  

Tugas memberhentikan KTM 790 DUKE diserahkan kepada brek cakera berkembar bersaiz 300mm di hdapan dan brek cakera tunggal di belakang. Harus tahu bahawa brek hadapan itu dibangunkan khas untuk KTM 790 DUKE.

Tuil brek tangan dan bar hendal boleh diubah suai untuk keselesaan penunggang. Brek ini juga dibantu oleh sistem Cornering ABS.

Pelana

Tempat duduk KTM 790 DUKE adalah setinggi 825mm. Jika mahukan pelana yang lebih rendah, KTM ada menyediakan kit khas yang boleh dibeli secara berasingan. Jadi, bagi mereka yang mempunyai ketinggian sederhana, tidak perlu risau.

Paparan TFT

Segala maklumat tunggangan dipaparkan menerusi satu paparan TFT yang kemas. Aspek iluminasinya boleh dilaras mengikut cahaya di sekelilingnya.

Mode Tunggangan

Beroperasi bersama sistem pendikit Ride-by-Wire (RBW), mode tunggangan berfungsi menukar output prestasi enjin dan karekter motosikal mengikut kemahuan penunggangan.

Empat mode tunggangan ditawarkan iaitu Sport, Street, Rain dan Track. Manakala ciri-ciri lain yang turut ditawarkan ialah Anti-Wheelie, Launch Control, Traction Control Spin Adjuster dan maklum balas pendikit.

GALERI

Google ads
Back to top button