
MAS2024: CFMOTO 450MT DIRASMIKAN – DARI RM28,888
CFMoto Malaysia dengan rasminya memperkenalkan CFMoto 450MT untuk pasaran tempatan ketika di Malaysia Autoshow 2024 bertempat di MAEPS, Serdang.
Bagi pasaran negara, dua varian ditawarkan; 450MT dan 450MT-X dengan masing-masing dijual pada harga RM28,888 dan RM30,888. Untuk rekod, 450MT-X hadir dengan ‘top box’ dan ‘panniers’ di bahagian kiri dan kanan.

Untuk rekod, 450 MT merupakan motosikal ketiga CFMOTO yang dikuasakan enjin parallel-twin 449cc dengan crank 270-darjah selepas 450 SR dan 450 NK. Enjin tersebut juga hadir dengan dua ‘counterbalancer’ bagi memastikan gegaran enjin berada pada tahap minimum sekaligus meningkatkan keselesaan menunggang.
Bagaimanapun, enjin tersebut telah ditala semula dan kini menawarkan 44hp pada 8,500rpm dan 44Nm pada 6,250rpm berbanding 50hp dan 39Nm pada 450SR.

Selain itu, berbanding 450SR dan 450NK kuasa puncak hadir pada 1,000rpm lebih rendah sementara tork puncak pula hadir 1,350rpm lebih awal sekaligus menyumbang kepada kemampuan ‘off-road’ dan ‘touring’.
Perincian lain termasuklah dilengkapi lampu depan LED yang disusun secara menegak, pelindung kemalangan selain, dimuatkan dengan aksesori lampu tambahan, pengawal tangan serta pannier. Selain itu, ia diserlahkan lagi melalui roda hadapan 21-inci dan belakang 17-inci lengkap dengan getah dwiguna.

Dalam perkembangan sama, CFMoto Malaysia turut melancarkan 450NK dan 450CL-C dengan masing-masing ditawarkan pada harga RM25,888.

Kedua-dua model ini juga dikuasakan enjin parallel-twin 450cc yang sama terdapat pada 450SR. Bagaimanapun, 450NK menawarkan 50hp dan 39Nm sementara 450CL-C telah ditala semula dan menghasilkan 40hp dan 42Nm.