Buletin

MERCEDES BAKAL BINCANG LANJUT KONTRAK LEWIS HAMILTON

Mercedes dijangka akan memulakan perbincangan untuk melanjutkan kontrak juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton selepas pemandu kelahiran Britain tersebut berminat untuk meneruskan karier pada musim depan.

Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff mendedahkan perkara tersebut dan perbincangan itu akan diadakan dalam tempoh terdekat, namun tidak mengulas secara terperinci berhubung perancangan tersebut.

Hamilton disebut-sebut akan meninggalkan saingan tersebut selepas hanya mengikat kontrak sehingga penghujung tahun ini tetapi pemandu berusia 36 tahun itu mendedahkan untuk kekal bersaing tahun depan.

“Hubungan kami bertambah baik setiap tahun dan sudah tiba masanya untuk melakukan perbincangan. Ini yang kami akan lakukan tidak lama lagi,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai status pelumba Finland, Valtteri Bottas musim depan, Wolff mengakui pasukannya akan menilai prestasi pelumbanya itu sepanjang musim ini sebelum membuat keputusan.

Bottas melakukan kejutan ketika bersaing di Grand Prix (GP) Portugal kelmarin selepas me­nempah petak pertama di Litar Antarabangsa Algarve.

“Saya rasa kita perlu melihat sepanjang musim ini kemudian barulah kita menilai. Saya tidak dapat membuat keputusan lagi pada ketika ini,” kata Wolff.

Masa depan Bottas bersama Mercedes terancam sekiranya gagal mempamerkan aksi terbaiknya dan pemandu Williams, George Russell dikaitkan akan menyertai pasukan tersebut musim depan sekiranya tampil cemerlang musim ini. – agensi

Google ads
Back to top button