Motosikal

MOTOGP ASSEN: GENAP DUA TAHUN ROSSI TANPA KEMENANGAN

25 Jun menandakan sudah genap dua tahun Valentini Rossi berlumba tanpa sebarang kemenangan sejak dari perlumbaan Dutch TT, Assen 2017. Walaupun ini merupakan kekalahan paling panjang beliau bersama Yamaha, ia sebenarnya bukan kekalahan paling panjang dalam karier grand prix beliau.

Kegagalan paling lama Rossi ialah sewaktu bersama dengan pasukan Ducati selama dua musim bermula Oktober 2010 sehinggalah Jun 2013. Tapi adakah itu satu masalah untuk ‘The Doctor’?

Tentu sekali tidak, kerana menurut Rossi walaupun beliau memang merasa bangga dengan sejarah selaku juara dunia 7 kali tetapi rahsia sebenar kejayaan ialah dengan memandang ke depan. Fokus mesti masa hadapan dan bukannya bersembang sejarah lama di kedai kopi.

Jadi macam mana Rossi menilai keadaan semasa beliau? Jelas sekali buat masa sekarang mereka berada dalam situasi teknikal yang sukar. Rossi sendiri merasakan yang Yamaha harus melakukan sesuatu agar lebih kompetitif. Ini kerana tahap yang ditunjukkan oleh lawan adalah lebih tinggi, jelas Rossi.

Pada umur 40 tahun, Rossi masih mampu menunggang dengan baik dan keadaan fizikal beliau juga tidak mempunyai sebarang masalah. Beliau juga cukup berpengalaman dan sangat kompetitif.

Buat masa kini hanya Giacomo Agostini yang telah memenangi kelas premier lebih banyak dari Rossi. Agostini memegang rekod 8 kejuaraan kelas premier dan Rossi 7. Satu lagi kemenangan akan meletakkan Rossi sebagai pelumba keempat bergelar juara pada usia 40-an.

Assen merupakan litar bersejarah Rossi selepas kembali ke pasukan Yamaha pada 2013 dan ini mungkin peluang terbaik beliau untuk kembali merebut tempat pertama. Walaupun rakan sepasukan beliau, Maverick Vinales berjaya menang tahun lepas tapi Rossi masih berjaya menamatkan perlumbaan sebagai penunggang jentera M1 paling berjaya.

Rossi telah menamatkan perlumbaan di tempat kedua sebanyak 4 kali sejak kemenangan kali terakhir di Assen 2017 dan kini selepas kejayaan sesi ujian di Catalunya, mereka merasa lebih yakin untuk mencapai kemenangan pada edisi kali ini. kegagalan kedua pelumba Yamaha akibat kesilapan yang dilakukan oleh Jorge Lorenzo pada perlumbaa sebelum ini akan lebih membakar semangat untuk lebih berjaya.

Jadi kepada sesiapa yang merasakan Rossi sudah sepatutnya bersara tu ingat satu je, Rossi masih lagi pelumba Yamaha yang paling berjaya pada musim ini dan lebih kerap menaiki podium dari pelumba Yamaha lain. Alah, korang sukan sekolah pun tak pernah naik podium jangan nak kecoh sangat (sama la macam Pokya).

Google ads
Back to top button