Motosikal

MOTOGP: OLIVEIRA BAWA PULANG MATA SULUNG DI ARGENTINA – HAFIZH SYAHRIN BERSAING HEBAT DENGAN PELUMBA TOP 15

Saingan kedua MotoGP menyaksikan pelumba Red Bull KTM Tech3 Miguel Oliveira yang juga merupakan pelumba rookie pada tahun ini berada pada posisi keenam, hanya ketinggalan sedikit masa berbanding pelumba Top 15 di hadapan beliau. Tapi apa yang membanggakan ialah beliau bukan hanya berjaya mendapatkan mata untuk pasukan Tech3 tetapi ia juga mata MotoGP sulung beliau dalam kelas premier.

Hafizh ‘Bo55ku’ Syahrin turut mempamerkan prestasi membanggakan kerana membuat catatan masa yang lebih baik sekaligus menunjukkan kemampuan untuk bersaing dengan pelumba di hadapan walaupun memulakan perlumbaan di barisan belakang grid.

Dari pusingan ke 17 sehinggalah ke pusingan terakhir (pusingan 25), Hafizh menunjukkan semangat juang yang tinggi dan sentiasa berusaha untuk merampas kedudukan ke-15 tapi akhirnya terpaksa menerima kedudukan ke-16 selepas perlumbaan berakhir. Beliau kini menetapkan sasaran untuk mendapatkan mata peribadi pertama menjelang perlumbaan pusingan ke-3 di Texas selepas ini.

Oliveira ketika ditanya menyatakan kegembiraan kerana berjaya memungut mata dalam perlumbaan kedua ini. Ia sememangnya tujuan utama mereka datang ke Argentina dan mengakui yang mereka sudah semakin kompetitif. Motosikal juga berada dalam keadaan baik dan mereka akan berpeluang mengujinya lagi di Texas untuk pusingan selanjutnya. Oliveira merupakan pelumba kedua paling laju KTM di belakang Johann Zarco dan ia sememangnya sangat ‘meriangkan’ bagi beliau.

Hafizh Syahrin seorang lagi pelumba KTM Tech3 merasa cukup gembira kerana mereka berjaya membuat peningkatan demi peningkatan selepas sesi ujian masa. Beliau cukup bermotivasi dan walaupun memulakan perlumbaan dari kelompok belakang, Hafizh sentiasa berusaha untuk berada dalam kelompok yang lebih baik.

Sayangnya menjelang pusingan ke-15, tayar belakang jentera KTM Hafizh mula mendatangkan masalah sekaligus menyukarkan beliau untuk merebut kedudukan yang lebih baik. Tapi kemampuan beliau untuk bersaing dengan Johann Zarco walaupun dengan jentera bermasalah memang wajar dipuji.

Oliveira, Argentine MotoGP Race 2019

Selepas perlumbaan, Herve Poncharal, pengurus pasukan KTM Tech3 meluahkan kegembiraan beliau dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh anak buah beliau. Oliveira walaupun merupakan pelumba rookie tetapi menunjukkan bakat beliau selepas berjaya mengutip mata pertama musim ini untuk pasukan Tech3. Gaya beliau dilihat sama seperti pelumba lain yang lebih berpengalaman.

Poncharal turut mengucapkan tahniah kepada Hafizh Syahrin peningkatan yang ditunjukkan beliau walaupun berdepan dengan masalah pada pusingan pertama tempohari. Beliau kembali bangkit dan berusaha menyertai kelompok Top-15 sehingggalah ke garisan penamat. Ia juga membuktikan yang mereka mempunyai potensi yang besar dan bakal menjadi aset utama kepada pasukan KTM.  

Tags
Google ads
Back to top button