Buletin

PADANG INI MENJADI KUBUR BUAT BELASAN UNIT FERRARI. APA SEBENARNYA YANG BERLAKU MASIH KEKAL MISTERI

Sejumlah jentera Ferrari dan model klasik yang mahal harganya didapati terbiar di sebuah padang di Amerika Syarikat. 

Semua kereta itu didakwa milik seorang peguam yang tidak dikenali tetapi mempunyai wang yang banyak untuk memenuhi minatnya terhadap kereta berkuasa tinggi. 

Dia pada awalnya mengumpul Chevrolet Corvette. Sebelum koleksi itu ditambah dengan pelbagai model mewah lain seperti Lamborghini, Lotus, Rolls-Royce, Porsche dan Ferrari. 

Dalam tempoh tersebut lelaki itu membeli sekurang-kurangnya 13 unit Ferrari yang terdiri daripada model Mondial, 400i grand tourer dan Testarossa. Namun begitu, pada tahun 2011, dia dikatakan didiagnos dengan penyakit yang serius. 

Kondisi kesihatan itu membuatkannya tidak lagi boleh memandu. Jadi, dia memindahkan koleksinya ke sebuah gudang milik rakannya.

Masalah kewangan yang menimpa kemudian menyebabkan dia tidak mampu membayar bayaran bulanan gudang tersebut. 

Koleksi kereta itu akhirnya dialihkan ke sebuah padang berhampiran. Menurut satu laporan, peguam berkenaan membayar semua baki hutang.

Tetapi, tanpa sebab yang jelas, individu yang dipertanggungjawabkan untuk menyimpan semua kereta itu tidak memindahkan semula kenderaan ke dalam gudang. 

Akibatnya, semua kereta mahal itu terbiar di atas padang selama bertahun-tahun, berhujan berpanas dan tidak pernah dipandu walaupun sekali. 

Tiada siapa yang tahu apa yang berlaku kepada pemiliknya. Tetapi, ahli keluarganya terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan semua kereta ini berikutan masalah perundangan.

Sebaiknya sahaja semua masalah itu selesai, mereka mendapati hanya 11 daripada 13 buah Ferrari dan dua buah Rolls-Royce mempunyai dokumen yang lengkap. Malah, kedua unit Rolls-Royce dan Ferrari juga telah hilang. 

Mereka kemudian mengambil keputusan untuk menjual semua kereta ini dengan meminta bantuan daripada seorang otai komuniti Ferrari, Paul Cox.

Mereka akhirnya berjaya menjual sembilan kereta berkenaan kepada sebuah pengedar kereta terpakai. 

Kini, semua kereta itu dikatakan sudah mendapat pemilik yang baru dan kembali dipandu.

Apa jua kereta tidak patut dilayan sebegini. Sedih tengok.

kredit foto: silodrome.com

Google ads
Back to top button