Pandu Uji

PANDU UJI: HONDA CIVIC 2016 – SERLAHKAN KEMATANGAN

Civic ialah model ikonik Honda. Memiliki sejarah sepanjang 44 tahun menerusi sembilan generasi, Civic mengalami zaman jatuh bangun dalam setiap pasaran yang disertainya.

Honda-Civic-gen-10-test-drive-mekanika (7)

Tidak keterlaluan jika saya saya katakan bahawa Civic adalah pengenalan kepada seseorang kepada jenama Honda. Saya sendiri pernah memiliki model Civic EK, membelinya selepas terpengaruh dengan seorang rakan. Tetapi saya tidak menyesal.

Malah, saya dan Irwan sempat menulis sebuah buku tentang Honda Civic (generasi pertama hingga ketujuh). Kalau berminat nak beli, boleh PM tepi.. Hahaha…

Honda-Civic-gen-10-test-drive-mekanika (12)

Sedan segmen C itu juga menjadi salah satu kanvas penting buat Honda dalam memperkenalkan teknologi atau ciri terbaharunya kepada pengguna. Contoh yang mungkin tidak mungkin kita lupakan ialah rekaan papan pemuka dua lapis pada Civic generasi kelapan atau FD.

FD dilihat begitu revolusionari. Dari segi reka bentuk dan teknologi sehinggakan model selepasnya, Civic FB seperti tidak cukup nafas untuk mengejar impak dan populariti yang dicipta oleh FD.

Honda-Civic-gen-10-test-drive-mekanika (18)

Kini, Civic sudah memasuki generasi ke-sepuluh atau FC. Biarpun sudah berada di peringkat yang boleh dikatakan matang, Civic FC terpaksa perlu berdepan dengan cabaran getir.

Getir kerana minat pengguna kini sudah semakin beralih kepada model segmen B yang saiznya bertambah besar dengan pelbagai ciri menarik. Pada masa yang sama terus ditawarkan harga di bawah RM100,000.

Honda-Civic-gen-10-test-drive-mekanika (17)

Satu lagi model yang mengancam kelangsungan hidup sedan segmen C ialah SUV kompak atau crossover. Maklum balas yang cukup memberangsangkan daripada pengguna membuatkan semua pengeluar menawarkan model crossover.

Sekali gus membuatkan model-model seperti Civic, Altis, Mazda3 atau sebagainya kian terpinggir. Persoalannya, mampukah Civic mengharungi semua itu? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Honda-Civic-gen-10-test-drive-mekanika (8)

Baiklah. Berbalik kepada Civic.

Selepas melihat secara dekat di acara Bangkok International Motor Show 2016 pada Mac lalu, Mekanika Malaysia dijemput untuk memandu uji Civic di Chiang Rai, Thailand Selasa lepas.

Untuk makluman, Civic ditawarkan dalam empat varian di Thailand (baca laporan lanjutnya di SINI). Bagi pasaran tempatan pula, Honda Malaysia menyatakan ia akan menawarkan dua pilihan enjin iaitu 1.8 liter dan 1.5 liter VTEC Turbo.

Honda-Civic-gen-10-test-drive-mekanika (1)

Sekali pandang, kita sudah sedar bahawa Civic memang sebuah sedan yang cantik. Reka luaran yang mengambil inspirasi sebuah fastback nyata menjadikannya begitu sporty.

Ditambah pula dengan kedudukannya yang rendah dan lebar, hud lebih panjang serta gariis badan yang tajam, Civic memang mencuri perhatian.

Penampilannya disempurnakan lagi dengan penggunaan lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED. Pada bahagian belakang pula, lampu berbentuk C itu jelas sangat bergaya dan kemas.

Honda-Civic-gen-10-test-drive-mekanika (2)

Saya mulakan sesi pandu uji yang melibatkan perjalanan sejauh hampir 180 kilometer dari Chiang Mai ke Chiang Rai itu dengan model 1.8 liter SOHC i-VTEC. Secara keseluruhannya, enjin berkuasa 141PS dan tork 174Nm itu tidak mengecewakan.

Dipadankan dengan kotak gear CVT, ia menawarkan pemanduan yang lancar dan menjimatkan. Cuma, untuk tidak tertinggal daripada konvoi, saya ‘terpaksa’ memandu dengan sedikit agresif.

Honda-Civic-gen-10-test-drive-mekanika (23)

Varian 1.8L tidak didatangkan dengan paddle shifter. Jadi, penyelesaiannya ialah memandu dalam mode Sport (S). Percayalah, kotak gear CVT itu tidak lemau langsung. Malah, anda pasti suka apabila rasa gear diturunkan dengan pantas apabila kereta diperlahankan. Daya pecutan juga rasa lebih responsif dalam mode ini.

Tipikal sebuah Civic, ia dapat menawarkan posisi duduk yang cukup memuaskan. Anda rasa berhubung dengan jalan raya dan dapat menikmati pemanduan sepenuhnya. Rekaan tiang A yang nipis juga membuatkan pemandangan hadapan lebih jelas.

Honda-Civic-gen-10-test-drive-mekanika (3)

Tiada lagi papan pemuka dengan dua lapis paparan. Sebaliknya, rekaan dalaman Civic kembali kepada asas dengan paparan meter kelajuan dan rev yag besar terpampang di depan mata. Cuma kali ini, semua maklumat dipaparkan dalam bentuk digital.

Beralih kepada varian Turbo pula. Ia merupakan enjin turbo pertama yang akan ditawarKan oleh Honda Malaysia. Enjin daripada keluarga Earth Dreams Technology itu dikatakan mampu menghasilkan kuasa yang menyamai enjin bersesaran 2.4 liter.

Lebih tepat lagi, enjin dengan sistem pancitan terus bahan api itu berupaya menjana kuasa mencecah 173PS dan tork maksimum 220Nm.

Honda-Civic-gen-10-test-drive-mekanika (6)

Dan saya pun mengujinya… Jika anda fikir ia akan memberi sensasi atau kuasa seperti sebuah model Type-R, anda mungkin kecewa. Jangan salah faham. ia bukan bermakna varian ini tidak berkuasa. Pemanduannya tetap responsif berbanding enjin 1.8 liter.

Cuma, harus tahu bahawa VTEC Turbo itu lebih terarah kepada aspek kecekapan dan bukanlah prestasi semata-mata. Turut dipadankan dengan kotak gear CVT, anda boleh mengharapkan kualiti pemanduan yang bersifat all-rounder.

Honda-Civic-gen-10-test-drive-mekanika (14)

Ingat apa yang saya cakap sebelum ini? Civic ini didatangkan bukan dengan satu atau dua, tetapi empat ciri baharu yang pertama dalam kelasnya.

Pertama, Remote Engine Start. Ciri ini membolehkan anda menghidupkan enjin sejauh 40 meter dari kereta. Apa yang perlu dibuat cuma tekan butang pada kunci selama lima saat. Selain pastikan anda tidak menutup suis pendingin hawa sebelum itu.

Jangan bimbang. Walaupun enjin dihidupkan, pintu masih terkunci demi keselamatan. Dengan ciri ini, anda tidak perlu lagi menahan panas ketika mahu memulakan perjalanan.

Honda-Civic-gen-10-test-drive-mekanika (11)

Ciri kedua sangat berguna kepada sesiapa yang selalu terlupa atau ragu-ragu sama ada sudah mengunci kereta atau sebaliknya. Walk Away Auto Lock akan mengunci pintu kereta secara automatik selepas pemandu berjalan melebih jarak 2.5 meter dari kereta. Namun, anda perlu memastikan semua pintu sudah ditutup rapat untuk membolehkannya berfungsi dengan sempurna.

Dua lagi baki ciri baharu ialah brek parkir elektrik dan Brake Hold yang memberi lebih kemudahan kepada pemandu.

Honda-Civic-gen-10-test-drive-mekanika (15)

Honda Malaysia sekali lagi akan menguji sentimen pasaran sedan segmen C dengan Civic.

Kalau minat yang ditunjukkan oleh pengguna ke atas Civic boleh dijadikan ukuran, sedan itu boleh menjadi antara penyumbang utama untuk membolehkan Honda terus bertakhta sebagai jenama bukan nasional No. 1 di Malaysia. Nampaknya, begitulah…

Google ads
Back to top button