Pandu Uji

PANDU UJI: HONDA CIVIC RS 2022. SPORTY, MATANG DAN MEMUASKAN

Orang kata, untuk kekal di atas adalah jauh lebih sukar daripada perjalanan untuk berada di tangga teratas. Memang ada benarnya dan ia boleh diaplikasikan ke dalam apa jua situasi, sama ada dalam perniagaan, akademik, kerjaya dan sebagainya. 

Jika kita kecilkan skop itu kepada populariti dan angka jualan sedan segmen C, itulah yang terpaksa dilalui oleh Honda Civic FE. Ketika pengguna kini lebih terarah untuk membeli SUV ditambah pula dengan populariti Civic FC, model generasi ke-11 itu nyata menggalas tanggungjawab yang besar. 

Mahu kekal sebagai sedan segmen C paling laris di Malaysia, Civic FE tampil dengan rekaan yang jauh berbeza dengan model sebelumnya. Jentera itu kini hadir bersama reka bentuk lebih matang dan elegan yang membuatkan ramai peminat tegar Civic seakan-akan tidak boleh menerimanya.

Tiada lagi garis-garis tajam yang membuatkan Civic lebih sporty. Sebaliknya, bahagian hadapan Civic FE kelihatan lebih sopan. rekaan sisi pula menyerlahkan garis badan yang lebih ringkas tanpa perlu rekaan yang berselirat dan kompleks. 

Perubahan paling ketara pastinya pada bahagian belakang. Tiada lagi lampu seperti sepit ketam, tetapi telah diganti dengan rekaan lampu LED berbentuk L, spoiler nipis dan ekzos berkembar (bergantung kepada varian yang dipilih).

Honda Malaysia menawarkan Civic FE dalam tiga varian iaitu E, V dan RS. Bagi memberi peluang untuk merasai sendiri sensasi pemanduan Civic FE, Honda Malaysia mempelawa saya untuk menyertai sesi pandu uji ke Pulau Pinang. Varian yang disediakan pastinya yang paling tinggi RS. 

Harus tahu bahawa ini merupakan kali pertama varian RS ditawarkan ke pasaran Malaysia. Kalau beli varian ini, anda tidak perlu lagi menambah sebarang aksesori kerana ia sudah sedia sporty.

Civic RS dilengkapi dengan kemasan hitam pada bahagian hadapan, hendal pintu, rim hitam matte bersaiz 18 inci, antena shark fin dan spoiler belakang. 

Ruang kabin Civic FE merupakan antara aspek yang mendapat pujian ramai. Rekaan honeycomb metalik mesh yang merentangi papan pemuka dan menyembunyikan corong pendingin hawa itu nyata membuatkan ambien terasa lebih mewah.  Material yang digunakan pada setiap titik sentuhan juga lebih premium berbanding model lama.

Rekaan moden ruang dalaman Civic FE diteruskan dengan penggunaan skrin sentuh bersaiz 9 inci untuk sistem infohibur. Ia bukan sahaja mudah dioperasi dengan susun atur dan butang-butang, malah menawarkan ketersambungan Android Auto dan Apple Carplay tanpa wayar. 

Satu lagi ciri yang pertama kali dipasang pada Civic FE ialah drive mode selector pada konsol tengah. Cuma tolak butang kecil itu ke atas dan ke bawah, anda boleh menukar mode pemanduan sama ada ECON, NORMAL dan SPORT dengan mudah. Setiap mode pemanduan itu memberikan karekter pemanduan yang agak ketara apabila dicuba. 

Posisi pemanduan sedan ini lebih sporty dengan tempat duduknya dan papan pemukan yang lebih rendah. Dengan pandangan hadapan yang jelas, pemandu boleh memandu dan mengambil selekoh lebih yakin. 

Memandu dalam tempoh yang agak lama menyedarkan saya terhadap satu kelemahan Civic FE. Bagi saya, tempat duduk pemandu yang dibalut oleh gabungan kulit dan suede itu agak keras. Mujurlah kusyennya lebih lembut apabila duduk di kerusi belakang. 

Tidak seperti Civic FC, FE hanya ditawarkan dengan enjin VTEC turbo bersesaran 1.5 liter. Enjin tersebut telah dinaik taraf untuk menawarkan kuasa 182PS dan tork setinggi 240Nm, naik 9PS dan 20Nm berbanding enjin lama. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT. 

Rangkaian kuasa itu bukan sahaja rasa lebih power, malah penggunaan bahan api juga boleh kata agak menjimatkan. Honda mendakwa Civic FE boleh dipecut hingga 200km/j, tetapi ada yang berjaya melebihi kelajuan tersebut tanpa sebarang masalah. 

Sebagai sebuah model baharu, jentera itu hadir dengan set lengkap sistem keselamatan Honda SENSING. Salah satu ciri yang paling saya gemari ialah Adaptive Cruise Control (ACC) dan Low-Speed Follow.

Saya hanya perlu menetapkan had kelajuan dan jarak dengan kenderaan hadapan, kereta kemudian akan menekan minyak dan brek tanpa sebarang input daripada pemandu.

Satu ciri baharu iaitu Lead Car Departure Notification System pula memberi notifikasi kepada pemandu jika kenderaan di hadapan sudah bergerak. Semua ciri itu jelas membuatkan pemanduan lebih selamat dan relaks walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang panjang. 

Anda boleh menikmati semua ini (dan banyak lagi) pada harga bermula RM125,000. Jika mahukan varian RS, sudilah kiranya untuk membayar sebanyak RM144,350.

Mungkin ramai yang akan berkata ia sudah memasuki julat harga kayangan. Namun, senyuman yang terukir setiap kali pedal minyak ditekan dan mengarah stereng di selekoh tajam itu tidak boleh diukur dengan wang ringgit. 

GALERI

Google ads
Back to top button