Pandu Uji

PANDU UJI: PERSONA, DNA TULEN SEBUAH PROTON

Kereta-kereta moden Proton perlu dikaitkan dengan satu istilah; “pengendalian” (handling). Sejujurnya kami sangat takjub dengan usaha yang mereka lakukan untuk menjadikan kereta mereka selamat dipandu dan dengan penalaan kerangka, kemasukan peralatan keselamatan pasif dan aktif, kereta Proton menjadi antara paling berbaloi dimiliki bagi kenderaan dalam kelasnya.

Namun untuk mendapatkan pasaran yang menghargai segala aspek ini memang sukar. Orang terus menilai rekabentuk, aksesori dan fitur sofistikated yang dipadankan. Sedangkan teras Proton ialah menghasilkan kereta yang selamat dan bagus pengendaliannya. Di persimpangan dilema? Kami tak suka untuk katakan jawapan benarnya. Ya, Proton di persimpangan jalan.

Kami baru pulang menguji pandu Proton Persona baru yang akan dilancarkan lewat bulan ini. Bertempat di trek ujian Proton di Kilangnya Shah Alam, sesi uji pandu pendek ini lebih kepada pendedahan simulasi dunia sebenar yang akan ditempuhinya. Sejujurnya, saya kagum dengan hasil kerja keras jurutera yang berjaya menjadikan “Iriz sedan” ini sebuah sedan yang sempurna.

persona (1)

Saya tidak akan berdiskusi banyak tentang rekabentuk, kerana kami tidak dibenarkan menyiarkan gambar penuh Persona baru ini. Tapi anda boleh periksanya dalam spyshot di sini. Namun apa yang saya dan ramai yang lain setuju adalah sukar untuk mengubahsuai sebuah casis hatchback kepada sedan. Ia memiliki kapasiti but 510 liter di ruang bagasi dan jika itu sahaja yang anda mahu baca, baik alih cursor anda ke page lain.

Mungkin rekabentuknya terpaksa direka berulang-ulang supaya garis bahu nampak sekata, lengkok bumbung lebih aerodinamik tetapi tidak menyebabkannya kelihatan pelik. Tak mustahil juga bahagian rekabentuk terpaksa bertengkar sepanjang masa untuk mendapatkan hasil akhir yang konsisten dengan bahasa badan Proton, menepati kehendak pasaran dan juga kos yang efektif.

persona (4)

Dalam segmen ini, kita boleh banding dan letakkan 3 unit kereta secara sisi, Almera, Bezza, Attrage dan Persona. Secara peribadi, saya akan pilih Persona (dan anda boleh periksa saya jarang memuji rekabentuk Proton kecuali Iriz dan Suprima S)

Dari segi pengendalian, semua varian Persona dilengkapi dengan ABS dan ESP, sistem kawalan aktif elektronik yang penting untuk kereta moden. Apatah lagi bagi sebuah kereta dalam rangkaian “murah” seperti ini. Unit pertama yang saya ujipandu ialah versi premium dengan transmisi CVT.

Enjin VVT generasi baru aspirasi biasa ini telah ditala sebaik mungkin untuk dipadankan dengan sistem transmisi CVT buatan Punch (yang juga telah ditala semula). Penggunaan bahanapi bagi Persona CVT dikatakan 10% lebih lebih jimat manakala versi manual 13% lebih jimat berbanding Campro IAFM.

CVT pada Proton adalah mimpi ngeri bagi anda yang suka memberi markah pada tahap NVH. Bagi seorang yang sensitif, transmisi CVT Proton tidak akan berdiam diri, suka membuat bising bila enjin di rev tinggi. Di sini, jurutera telah berjaya mengolah semula agak putaran enjin tidak memaksa talisawat CVT menjerit-jerit meminta gear lagi. Ia telah digabungkan dengan sektor tebatan bunyi yang baik. Maksud saya sangat baik untuk sebuah kereta dalam segmennya.

persona (2)

Unit kedua yang diuji ialah transmisi manual. Nah, ini adalah pemenangnya. Enjin VVT talaan baru ini akan membawa anda ke dunia pengendalian sebenar. Mengatur gear, menguji sekeras-kerasnya fungsi ESP, brek, kerangka dan pengendalian Persona ini membolehkan anda menilai bahawa begitu banyak masa dan kerja keras yang diambil untuk mencapainya ke tahap ini.

Rasa sentuhan, tindakbalas stereng, bias ekor belakang kereta sedan ini semuanya boleh dikawal. Bukan itu sahaja, ia terlalu mudah untuk menjangka arah mana kereta akan pergi samada dalam kawalan, luar kawalan atau anda cuba membetulkan posisi. Ia sangat bersifat sebuah “Proton” yang boleh diharap. Anda boleh tonton videonya di sini.

Di penghujung hari, mungkin ramai yang tidak akan menghargai atau tak tahu sejauhmana pentingnya fitur-fitur penting ini. Ya, kereta A, B, C, D, E, F,G, H U, K, L, W, Q, Z, X atau namakan sahaja, semua mungkin ada spec ESP, EBD ABS yang sama tapi ia bukanlah setakat fungsi yang boleh dipasangkan begitu sahaja pada homolagasi badan kereta. Ia perlu bersifat harmoni, perlu ada konotasi dengan casis, kerangka enjin, beban dan beribu lagi faktor lain.

persona (5)

Sekali lagi, Proton adalah sebuah Proton, nama kecil yang mengutamakan aspek yang ditinggalkan oleh pengeluar lain. Namun di penghujung hari, majoriti pembeli tetap melihat harga dan juga pemain sesentuh 2DIN dengan fungsi android, Hdmi, USB, Astro, telekom, Jakim, KWSP dan sistem bunyi atau berapa banyak beg yang boleh diisi.

Tetapi percayalah, aspek keselamatan adalah sesuatu yang tidak dilihat dek mata kasar, tetapi amat diperlukan pada waktunya. Kesilapan pemandu adalah perkara pertama, membetulkan kesilapan itulah tugas sebuah kereta kerana kesilapan boleh berlaku berkali-kali namun kita tak pasti KESILAPAN MANA AKAN JADI YANG TERAKHIR.

Tahun ini adalah tahun penting bagi Proton dalam menentukan masa hadapannya. Mereka bakal melancarkan tiga model sekaligus. Jika produk-produk ini gagal mengembalikan penguasaan pasaran tambahan sekurang-kurangnya 5-10%, saya kira sukar untuk Proton bersaing pada masa depan. Maksud saya, sangat-sangat sukar.

 

koleksi gambar terbaru baru dikemaskini di sini

 

Google ads
Back to top button