Pandu Uji

PANDU UJI: KIA RIO SEDAN – KOMPAK YANG RARE

Ada 2 model yang selalu orang sebut bila bercakap tentang kereta penumpang segmen B – Honda City dan Toyota Vios. Cuba taip saja Vios Vs City, kita mungkin bertemu dengan 12 juta hasil carian di google.

Rio Sedan (4)

Anda mungkin lebih kerap bertemu Bently Flying Spur atau Porsche Macan berbanding Kia Rio sedan. Saya juga tidak sedar kewujudan model ini sehinggalah ditawarkan pihak Naza untuk memandu ujinya pada minggu lepas. Sebenarnya, kereta ini sudah mula masuk ke pasaran tempatan awal tahun ini dan menurut pihak pengedar, jualannya agak bagus juga.

Segmen kereta ini dimonopoli sepenuhnya oleh Toyota Vios, Honda City dan Jazz. Sebenarnya, kita ada pilihan Kia Rio hatch, Rio sedan, Volkswagen Polo, Mazda 2 dan Ford Fiesta. Hakikatnya, jenama mainstream ini jugalah yang dibuat berikutan perubahan segmentasi yang dicetus oleh keluarga Jazz tadi. Untuk sebuah kereta kegunaan bandar, pada asalnya kereta begini sangat asas kelengkapannya.

Rio Sedan (3)

Namun beberapa generasi selepas itu, ia diperbaharui dan disempurnakan sebagaimana spesifikasi abang-abangnya dalam segmen C (Civic, Altis). Rio sedan ini juga tak ketinggalan. Walaupun ‘dilupakan’ dalam pasaran, sebenarnya kereta ini cukup bagus untuk sebuah kereta bandar – untuk anda yang ingin lari dari kebiasaan.

Rio merupakan model paling laris Kia di seluruh dunia. Semenjak kemunculan model pertamanya, sebanyak 2 juta unit telah terjual, justeru pembangunan model ini sentiasa diberi perhatian. Saya juga terkejut bila lihat senarai kelengkapannya. Dari ABS, ESC, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSM), Hill-Assist Control (HAC) dan termasuklah 6 beg udara!

Rio Sedan (5)

5 hari memandu kereta ini dalam trafik berbeza memberi gambaran bahawa kereta ini memang direka untuk alat pengangkutan yang ringkas. Dinamik pengendalian dengan sentuhan terus stereng ke permukaan jalan sangat mudah diduga. Ia dipasangkan dengan stereng kuasa bermotor dan dengan enjin 1.4liter MPI DOHC, kuasa memang mencukupi untuk sebuah kereta yang direka untuk dipandu tangkas.

Rio Sedan (1)

Enjin Gamma generasi baru ini menghasilkan sejumlah 109PS dan 137Nm. Tidak banyak kerenah, penukaran gear dari transmisi automatik 4 kelajuan juga lancar dan sesuatu yang menarik tentang Kia yang saya sedari, mereka mengatur nisbah gear 1 dan 2 lebih dekat menjadikan pergerakan dalam trafik henti-jalan lancar sekali.

Rio Sedan (8)

Rekaaan bahagian dalaman kereta ini ringkas tetapi egronomik. Ia sangat bersifat Kia dengan ambien latarbelakang lampu merah pada pemain audio, suis dan bentangan info rangkaian meter utama. Kerusi dibalut dengan fabrik berkualiti tinggi – seperti sentuhan sebuah Volkswagen yang lebih premium.

Rio Sedan (11)

Sistem audio yang nampak ‘basic’ itu sebenarnya didatangkan dengan fungsi tambahan USB, bluetooth dan juga storan dengan memaori 800MB. Kualiti suara diperdengarkan oleh enam pembesar suara berasingan dan sepasang tweeter pada pillar A. Dengan penalaan yang betul, anda dapat harmoni kualiti bunyi yang terbaik berbanding kenderaan dalam kelasnya.

Rio Sedan (6)

Binaan fizikal kereta ini menyebabkan ia kelihatan kompak dari di luar. Kereta-kereta moden Kia hari ini majoritinya dipengaruhi rekaan barat dengan garis badan yang ringkas, ‘bold’, dan kelihatan ‘tegap’ walaupun dalam keadaan statik. Jalur lampu, garis bahu, sempadan sisi dan bampar depan dengan kesatuan yang menyebabkannya kelihatan berbeza dengan kembar model hatchbacknya.

Rio Sedan (10)

Rio sedan didatangkan dengan pilihan warna Bright Silver, Signal Red, Deep Blue dan Clear White. Ia dijual pada harga RM72,888.00 atas jalan dengan insuran. Didatangkan dengan jaminan tanpa had batuan selama 5 tahun, sukar untuk ketepikannya dalam senarai.

 

Apa kata anda?

Google ads
Back to top button