Pandu Uji

PANDU UJI : TOYOTA SIENTA, MPV GAYA HIDUP MODEN

Jika anda pernah ke Jepun perlu diakui tentang satu perkara, industri automotif mereka cukup meriah dengan kepelbagaian model. Kadang-kadang saya terfikir bagaimana wartawan pemotoran mereka bekerja dengan kereta baru, facelift, produk yang diperkenalkan hampir setiap minggu.

Jepun juga dipenuhi model-model unik yang tidak dipasarkan di negara lain. Dikenali dengan nama JDM (Japan Domestic Market), ia direka untuk memenuhi piawaian domestik Jepun. Kereta bersaiz penuh dihadkan kelajuan pada 180km/j dengan enjin 280ps. Sementara kereta bersaiz K-Car (Kelisa, Kenari, Viva) dihadkan pada enjin 64ps dan kelajuan 140km/j.

14 sienta

Daihatsu Cappucino, Copen, Honda Mobilio, Spike, Toyota Fielder, Mark X Zio ialah antara model-model yang dianggap pelik bagi orang di luar Jepun. Pasaran MPV pula sangat besar. Wish, Alphard dan Vellfire sudah terlalu mainstream, tetapi mereka juga ada Noah dan Voxy dan yang terbaru dikenali sebagai SIENTA.

Saya juga agak skeptik apabila terdengar UMW Toyota ingin membawa masuk Sienta. SIENTA? Mengapa bukan Noah, Voxy, Wish atau setidak-tidaknya SUV RAV4? Saya tiada jawapannya, melainkan melihat ia sebagai pertaruhan berani untuk meletakkan satu lagi MPV dalam barisan jualan Toyota yang sudah ada Innova dan Avanza.

07 sienta

MPV 7 tempat duduk kompak ini adalah sebuah kenderaan gaya hidup. Model pertamanya diperkenal pada 2003 (lampu bulat) datang dengan warna-warna ceria seperti hijau epal, oren terang kelabu berkilat-kilat.

Model kedua ini adalah rangkaian JDM tahun 2015 di Jepun. Toyota Jepun mengambil pendekatan berbeza dengan mengeksport buat kali pertamanya ke pasaran MPV paling popular, Indonesia.

Ia kemudiannya ke dilancarkan ke pasaran tempatan Ogos lepas. Seperti spesifikasi Jepun, ia dipasang dengan enjin 1.5 liter, 2NR-FE, 107ps seperti yang terdapat pada Avanza. Tetapi Sienta menggunakan transmisi CVT dan spesifikasi lebih premium.

05 sienta

Enjin ini telah ditala semula dengan pemetaan rpm rendah yang responsif. Dalam kesesakan trafik, ia bergerak berhenti-jalan (stop-go) dengan lancar tanpa perlu mendesak pendikit. Ia sebuah MPV bandar saya kira sesuai untuk mereka yang mementingkan praktikal, saiz, parkir dan ruang tanpa perlu memikirkan konsumsi bahan api dan kos cukai jalan.

Walaupun menggunakan platform MPV kompak dan suspensi belakang torsion beam, perjalanan di lebuhraya juga tidak memerlukan anda bersilat memegang stereng. Ia sangat tipikal sebuah Toyota, selesa, stabil dan mampu menyerap hentakan dengan baik di jalan yang tidak rata. Walaupun dengan 7 tempat duduk penuh, Sienta menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang.

15 sienta

Ia turut didatangkan dengan blower pendingin hawa belakang, namun satu-satunya perbezaan ketara dengan spesifikasi Jepun ialah kedudukan tuil gear di bahagian lantai dan bukannya di tengah papan pemuka. Penyesuaian dilakukan kerana di Indonesia menawarkan transmisi manual.

Bergantung model apa yang anda pakai sekarang. Jika Avanza, Livina, Exora atau Innova, mungkin mengambil sedikit masa membiasakan diri mencari brek parkir dan gear. Jika anda menukar-beli sebuah Alza atau Wish, tiada masalah.

Seperkara yang menarik dan menjadi kunci jualan Sienta ini ialah rekaan pintu gelongsor di belakang. Tidak ada MPV dalam pasaran segmen ini yang menawarkannya fungsi ini.

03 sienta

Jadi apa kelebihannya? Berbanding pintu konsvensional, pintu gelongsor memudahkan bukaan dibuat dalam apa juga ruang parkir. Cuma tekan satu butang sahaja dan pintu elektrik menggelongsor ke belakang. (ye lah takkan ke depan pulak).

Sekali lagi, bergantung kepada MPV apa yang anda pandu sekarang. Jika anda memandu Alphard, Serena, Mazda 5 atau Elysion, mungkin ia dianggap biasa. Tetapi jika anda menukar-beli Alza, Livina, Citra atau Avanza anda akan sangat berterima kasih dengan fungsi ini.

UMW Toyota menawarkan hanya 2 varian di pasaran Malaysia. Model yang saya pandu uji ini ialah spesifikasi V. Ia didatangkan dengan roda aloi 16 inci, lampu LED (depan belakang), pintu gelongsor elektrik di kedua-dua belah dan skrin 7 inci bersaiz penuh.

12 sienta

Sementara Varian G pula cuma didatangkan pintu gelungsur berkuasa elektrik sebelah kiri, lampu halogen, audio asas dan rim 15 inci.

Harga jualan bagi varian V ialah RM99,900 dan G RM92,900. Perbezaan RM7,000 ini sebenarnya nampak besar tapi jika anda bahagikan dengan pinjaman purata 9 tahun pada faedah 3.3 peratus ia cuma perbezaan kecil, tak sampai pun RM100 sebulan.

Jadi, Jika anda bercadang membeli Sienta, jangan pandang langsung spec G. Tak berbaloi jimat RM100 sebulan tapi perbezaaan spesifikasinya sangat dominan.

09 sienta

Di pasaran tempatan, satu-satunya model terdekat yang pernah dibawa masuk ialah Honda Freed. Ia model yang boleh dikatakan gagal mencapai matlamat. Pembeli tempatan sukar menerima sebuah MPV premium, pintu gelongsor yang tak terjangkau dek pendapatan keluarga muda golongan pertengahan.

Saya percaya UMW Toyota mempunyai justifikasi tersendiri memilih Sienta. Mungkin insentif pemasangan di Indonesia memberi kelebihan kepada mereka. Mereka juga tidak meletakkan sasaran tinggi jualan dengan hanya 2,500 setahun.

08 sienta

Jadi, sebelum ada yang PM kami dengan soalan;

“Assalam bang, berbaloi ke beli Sienta?”

Baiklah, bergantung kepada keperluan. Seperti tajuk di atas, ia adalah MPV dengan gaya hidup. Ia direka moden, stailo, unik dan lain dari yang lain.

Sama seperti membeli jam Casio Gshock. DW6900 ialah model asas, menunjukkan waktu dan juga dipanggil Gshock. Tapi jika anda mahu dilihat lain dengan fungsi pelbagai, stailo, lain dari yang lain mungkin boleh beli Gshock Frogman?

15 sienta14 sienta 13 sienta 12 sienta 11 sienta

06 sienta 07 sienta 08 sienta 09 sienta 10 sienta

05 sienta 04 sienta 03 sienta 02 sienta 01 sienta

Google ads
Back to top button