CIRI ANTI-WHEELIE AERO SANGAT PENTING DI MOTEGI – SUZUKI
Kuasa downforce bahagian hadapan jentera yang dijana oleh wing fairing dilihat sangat penting sepanjang perlumbaan MotoGP di Litar Motegi, Jepun hujung minggu ini.
Litar tersebut memang terkenal dengan zon pecutan dan membrek keras. Jadi, kuasa downforce anti-wheelie akan memberi perbezaan ketara kepada jentera.
“Litar Motegi amat mementingkan aspek pecut dan berhenti. Ia memang memberi kesan ketara ke atas sistem brek dan tayar, di mana suhu trek serta udara biasanya cukup tinggi. Apabila anda terpaksa membrek keras sebelum masuk ke selekoh, anda juga perlu pantas memecut untuk keluar.
“Maka, ciri anti-wheelie daripada pakej aerodinamik pada jentera akan beri perubahan ketara. Kebanyakan selekoh memelurkan pelumba berada dalam gear satu atau dua.
“Keadaan ini membuatkan tayar cepat haus kerana anda perlu memecut keluar dari selekoh yang terpaksa berdepan masalah wheel spin,” jelas Ketua Krew pasukan Suzuki Ecstar, Frankie Carchedi.
Carchedi mengaku bahawa pihaknya telah membuat beberapa perubahan demi memastikan pasukan Suzuki dapat memberikan prestasi terbaik.
Musim lalu, pelumba Alex Rins berjaya menduduki podium di Litar Motegi. Rins dilihat bersemangat untuk mempertahankan kedudukan tempat ketiga dalam senarai juara dunia yang turut disaing oleh Maverick Vinales (Yamaha) dan Danilo Petrucci (Ducati).