Artikel Pilihan

PENGEMBARAAN ISTIMEWA DUA BERANAK TEROKA 22 NEGARA, NAIK PERODUA KELISA!!!

Mengembaralah merata-rata ceruk di muka bumi ini yang terbentang luas dalam mendekati alam, mengenali bangsa-bangsa, budaya serta gastronomi ditawarkan kepada manusia.

Ia bukanlah satu tugas mudah untuk mendekati setiap hamparan landskap dunia yang luas ini.

Bagaimanapun, kalau kita membulatkan hati untuk mengembara, tiada yang mustahil. Tidak kira latar belakang dari golongan kaya, sederhana ataupun kurang berada, pasti ada jalan merealisasikan impian tersebut.

Bagi dua beranak, Nursulhi Rahim, 43 dan anaknya, Muhammad Aidil, 15, mereka melakukan sesuatu yang mungkin tidak terfikir dek akal kerana mengembara hampir 22 buah negara dengan menggunakan kereta model terhad Kelisa tahun 2004.

Ya, mereka menaiki kenderaan Kelisa yang tidak memiliki sistem haba mengembara di negara-negara diselimuti salji malah berdepan suhu sehingga mencecah -32 darjah selsius.

Bahkan, Kelisa tersebut menjadi tempat dua beranak itu berteduh mengharungi cuaca panas dan hujan.  

Nursulhi berkata kereta Kelisa tersebut menyimpan beribu kenangan kepada dirinya terutama apabila memulakan pengembaraan istimewa bersama anaknya yang bermula pada 4 November 2019 sehingga 8 Mac tahun lalu.

“Kelisa itulah tempat kami tidur dan makan. Ia berikutan hendak sewa hotel akan menelan kos yang agak tinggi.

“Sekali-sekala sahaja, saya akan duduk di hotel sepanjang perjalanan selama beberapa bulan itu.

“Selain itu, saya terpaksa memendekkan tempoh masa pengembaraan kerana pandemik Covid-19 baharu sahaja menular di luar negara malah beberapa sempadan sudah mula ditutup kepada orang luar.

“Keselamatan anak menjadi keutamaan dan tidak perlu berfikir panjang untuk kembali ke tanah air, malah keadaan kereta juga berdepan masalah ketika mengambil keputusan itu,” katanya ketika dihubungi Mekanika.

Dia memberitahu, perjalanan melalui beberapa negara di Asia dan Eropah bermula dari Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Turkey, Bulgaria, Romania, Hungary dan Croatia.

Selain itu, Nursulhi, mereka turut melalui Slovenia, Austria, Jerman, Belanda, Denmark, Sweden, Norway, Belgium, Perancis, Switzerland, Itali dan Greece.

Lelaki yang menjalankan beberapa pekerjaan itu menambah terdapat banyak cabaran terpaksa dilalui sepanjang pengembaraan berkenaan.

Katanya, dia tidak memiliki pengalaman terutama mengembara di negara-negara Eropah membuatkan banyak perkara perlu dipelajari dengan sendiri apabila bertandang ke negara-negara terbabit.

“Alhamdulillah, terdapat juga sahabat-sahabat yang memberi tips tetapi banyak juga perlu dipelajari termasuk insurans kereta, tol, visa, perbankan online, RFD dan banyak lagi.

“Selain itu, saya mendekati budaya dan negara asing ini sesuatu pengalaman tidak ternilai terutama kepada anak saya,” ujarnya.

Sebagai contoh, dia menjelaskan, apabila berada di sebuah perkampungan di Bayramiç, Çanakkale, Turki, satu perkampungan menyambut kedatangan mereka dengan tangan terbuka.

“Ia sekali gus membuatkan kita terasa dihargai dan terdetik di dalam hati banyak lagi manusia yang baik-baik di dunia ini.

“Bagaimanapun, semua pengalaman ini perlu dirasai sendiri, baru kita dapat menghargai setiap detik yang dilalui tersebut,” ujarnya.

Nursulhi menjelaskan dia dan anaknya turut dapat merasai pengalaman melihat aurora yang menjadi tumpuan pelancong di Abisko, Sweden.

Dia berkata, apabila berada di Syria, mereka juga dapat menghulurkan bantuan kepada penduduk memerlukan dengan sokongan sahabat-sahabat dan doa rakyat Malaysia.

“Saya juga dapat merasai pengalaman setiakawan daripada para pengembara dari seluruh pelusuk dunia menjadikan ia sesuatu yang sangat berharga terutama dalam mengenal erti nilai kemanusiaan.

“Begitupun, tidak semua perjalanan yang dilalui melakar keindahan, ada juga pengalaman pahit,” katanya.

Menyentuh mengenai mengapa dia mengambil keputusan melakukan pengembaraan tersebut, dia berkata ingin memberi pendedahan dan pengalaman kepada anaknya.

“Saya juga ingin merealisasikan impian peribadi mengembara di negara-negara Eropah.   

“Saya berharap apabila pandemik ini berakhir, lebih ramai yang akan mengambil peluang mengembara dalam mengenali dunia,” katanya yang membelanjakan kira-kira RM120,000 untuk pengembaraan tersebut.

Google ads
Back to top button