
PENGGANTI LEXUS LFA BAKAL HADIR DENGAN 937 KUASA KUDA, PHEV
Laman media automotif Jepun iaitu Best Car mendakwa Lexus sedang giat menjalankan aktiviti pembangunan bagi menghasilkan pengganti supercar Lexus LFA. Generasi baru LFA bakal dilancarkan menjelang tahun 2025 dengan mengekalkan rekaan yang sama seperti model yang lama.
Berbeza dengan supercar lain yang banyak menggunakan konfigurasi MR (mid engine, rear wheel drive) Lexus LFA serba baru akan dibangunkan dengan tetapan Front Mid-Ship FR iaitu enjin dipasang di bahagian depan, tapi dianjakkan ke belakang gandar tayar depan dan semua kuasa dihantar ke tayar belakang. Semua ini dilakukan bagi agihan kuasa yang seimbang
Enjin 4800cc V10 yang terkenal dengan bunyi yang merdu hasil kerjasama Yamaha dan menghasilkan 552 kuasa kuda akan digantikan dengan trenkuasa yang baru. Khabar angin mengatakan Lexus akan memasang enjin V8 4000cc dengan turbo berkembar serta dipakejkan sistem hibrid PHEV

Trenkuasa dengan teknologi plug-in hybrid ini berpotensi menjana sehingga 937 kuasa kuda, jauh lebih kuat berbanding dengan enjin V10 4800cc yang lama. Seperti biasa Lexus tidak menafikan atau mengiayakan projek ini, namun pada tahun 2018 dan 2019 sebuah unit Lexus LFA telah kelihatan diuji di litar Nurburgring dan Lexus hanya mengatakan mereka sedang membangunkan tayar baru untuk LFA
Kenyataan Lexus ini tidak menjawab mengapa bahagian perumah tayar kelihatan sangat berbeza dengan model lama LFA dan ditutup dengan perekat samaran. Ketika diuji, LFA berkenaan sarat dengan pelbagai peralatan ujian bagi merekod data pemanduan, satu perkara yang agak janggal jika mereka hanya menguji tayar sahaja