
Motosikal
JACK MILLER TAKLUK MOTOGP PERANCIS PULA
Pelumba MotoGP Australia, Jack Miller meraih kemenangan kali kedua berturut-turut selepas mempamerkan tunggangan mantap melalui jentera Ducati di perlumbaan berangin dan hujan di Le Mans.
Miller yang muncul juara pada perlumbaan sebelum ini di Sepanyol, mengatasi dua pelumba Perancis Johann Zarco (Pramac Team) dan pendahulu keseluruhan, Fabio Quartararo (Yamaha).
Perlumbaan di litar Le Mans itu yang turut dibayangi pelbagai insiden kemalangan susulan trek yang licin menyaksikan Miller unggul dengan catatan masa 47 minit 25.473 saat.
Miller yang memulakan perlumbaan di petak ketiga, turut muncul pelumba Australia pertama untuk memenangi perlumbaan secara berturut-turut selepas Casey Stoner pada 2012. -agensi









