
POMPEII – EPIK KITAR SEMULA
GENRE: Epik, aksi, kemusnahan alam sekitar
ARAHAN: Paul WS Anderson
PELAKON: Keifer Sutherland, Kit Harrington, Emily Browning, Carrrie-Ann Moses, Adewale Akinnuoye-Agbaje dan Jessica Lucas.
BINTANG:***
“INI bukan sukan, ini politik!” Itu antara dialog yang paling terpahat dalam ingatan sepanjang diri dibiarkan larut dalam antara naskhah terbaharu dipaparkan di layar perak, Pompeii.
Dialog itu dilontarkan oleh watak antagonis, Corvus, lakonan aktor yang terkenal menerusi siri televisyen, 24, Keifer Sutherland. Corvus merupakan antara karakter kunci Pompeii yang memfokus tentang Milo (Kit Harrington dari siri Game of Thrones).
Dia ialah satu-satunya anggota puak Celtic yang masih hidup selepas kesemuanya mati diserang tentera Rom yang diketuai oleh Corvus dan orang kanannya, Proculus. Kisah epik ini berlatarkan era 79 sebelum Masihi.
Pada usia enam tahun, Milo kemudian dijadikan hamba. Ketika meningkat dewasa, dia dihantar ke Pompeii untuk menyertai sekumpulan lelaki gagah yang dijadikan bahan pertarungan dalam arena pertarungan yang diadakan di sebuah stadium mega.
Di Pompeii, Milo bersua dengan Cassia, anak perempuan pemerintah Pompeii. Namun kehadiran Corvus dan Proculus di Pompeii segera menyemarakkan amarah Milo terhadap dua manusia yang telah membunuh seluruh puak Celtic termasuk ibu dan bapanya.
Pada masa yang sama, cinta antara Milo dan Cassia juga semakin marak. Namun segala yang berlaku itu seakan-akan tiada ertinya apabila Vesavius – gunung berapi yang berdiri megah melatari pemandangan indah Pompeii.
Vesavius mula melontarkan lava yang melanda seluruh Pompeii sejurus kemunculan tsunami gergasi yang kemudian menenggelamkan Pompeii.
Pompeii boleh menjadi suatu naskhah yang memukau. Malangnya, ia baru ditayangkan pada tahun 2014, selepas filem-filem pecah panggung tentang pahlawan masa silam seperti Gladiator dan filem mengenai malapetaka alam sekitar, khususnya 2012 telah dihasilkan terlebih dahulu.
Ketulenan Pompeii juga agak tergugat kerana ia jelas terasa seperti sebuah filem kitar semula yang menggabungkan elemen daripada filem-filem terdahulu. Jelas sekali ia gabungan di antara Gladiator dan 2012.
Namun, aspek perkembangan setiap karakter dalam naskhah arahan Paul W.S. Anderson yang cukup dikenali menerusi karya siri filem pecah panggung Resident Evil ini wajar dipuji – agak memberikan impak sebenarnya. Sementelah disokong daya lakonan cemerlang barisan pelakonnya.
Cuma, mungkin akibat terlalu mahu ia muncul komersial, Anderson mengambil jalan mudah dengan merealisasikan Pompeii sebagai gabungan antara Gladiator dan 2012. Sehinggakan aspek emosi masyarakat Pompeii yang pupus angkara amarah Vesavius kurang terasa impaknya.















