WULING CONFERO S – BOLEH BERSAINGKAH DENGAN TOYOTA AVANZA DI INDONESIA?
Segmen Low Multi Purpose Vehicle (LMPV) di Indonesia sememangnya cukup sengit. Jenama Toyota Avanza/Daihatsu Xenia merupakan juara bagi segmen tersebut.
Justifikasinya cukup mudah. Rakyat di sana memerlukan sebuah mode pengangkutan keluarga yang sedikit besar berbanding sedan untuk mengangkut dari titik A ke titik B dengan mudah. Selain mengharung permukaan jalan yang mencabar.
Di sebalik kekuatan jenama Toyota/Daihatsu yang terus dikukuhkan dengan pengenalan model Toyota Calya dan Daihatsu Sigra, namun itu bukanlah alasan untuk pemain lain tidak turut serta dalam segmen LMPV ini. BK pernah menulis tentang pengenalan sebuah model MPV dari China yang ingin mencuba nasib, Wuling Confero S.
Wuling Confera S jika dilihat penampilan luarannya barangkali kelihatan biasa-biasa sahaja. Tidaklah terlalu menarik. Namun sebenarnya ia mempunyai beberapa perkara menarik, terutama kemasan krom di bahagian bampar dan gril.
Wuling juga bertindak bijak apabila memasang rel bumbung. Tahukah bahawa rel bumbung ini sangat-sangat berguna sewaktu musim balik ke kampung cuti Hari Raya.
Mereka akan membawa muatan sepenuhnya dan penggunaan rel bumbung sangat berguna untuk mengikat muatan di atas.
Bahagian kabin MPV yang dipasang terus di Cikarang, Bekasa Jawa Barat itu turut menampilkan beberapa ciri yang membolehkannya berada sama aras dengan MPV jenama Jepun.
Misalnya, penggunaan skrin sistem infohibur bersaiz 8 inci dan pilihan tujuh atau lapan tempat duduk. Bonus buat mereka yang inginkan ruang penumpang optimum.
Memenuhi ciri sebuah LMPV, sudah tentu enjin 1.5 liter dengan kuasa maksimum 107hp dan tork 142Nm merupakan pilihan yang afdal. Lupakan soal lemau.
Apa yang penting harga yang ditawarkan untuk model asas cukup mampu milik, sekitar Rp 150.8 juta (RM43,410). Manakala untuk varian tertinggi pula hanya Rp 197.5 juta (RM56,854). Berbeza dengan Toyota Avanza varian asasnya sahaja dijual pada harga bermula Rp 200 juta (RM57,631).
Jadi, faktor harga serta ciri-ciri yang menarik mampu menewaskan si Avanza sekiranya pelanggan tidak terlalu fanatik terhadap jenama Toyota atau Jepun.
Walaupun statistik jualan masih tidak berupaya mencabar Avanza, namun setidaknya Confero S berjaya mencuri sedikit kek bagi pasaran LMPV ini. Harga murah, spec ok. Kira ok lah kan?
Apakah pengguna di sana sudah mula terbuka dengan kemasukan jenama China dalam pasaran?
Di tempat kita mungkin sedikit berbeza penerimaannya. Harus menerima taraf naturalisasi terlebih dahulu dan menukar kepada jenama tempatan barulah boleh bersaing.