
PREVIU BENDA NAPOLEONBOB 250 DI IPOH – BAWAH RM25K
MForce Bike Holdings selaku pengedar rasmi jenama BENDA di Malaysia telah pun mempertontokan BENDA Napoleonbob 250 ketika perasmian MForce BestShop terbaru di Ipoh, pada Sabtu.

Napoleonbob 250 bakal menyertai Napoleonbob 500 dan Darkflag 500 V4 yang telah pun diperkenalkan di Malaysia Autoshow awal tahun ini. Menurut Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad, Napoleonbob 250 itu bakal memasuki pasaran sekitar Januari 2025 dengan harga jualan bawah RM25k.


Untuk rekod, model yang membawa nama Napoleonbob merupakan motosikal gaya ‘bobber’ yang ditawarkan BENDA untuk pasaran global. Meskipun begitu, daya tarikan utama Napoleonbob 250 tertumpu kepada bahagian suspensi depan yang bukan sahaja dilengkapi fork teleskopik malah disambung dengan satu lagi penyerap hentak berkembar.

Ketika kami ke Chongqing, China baru-baru ini, kami dimaklumkan bahawa sistem unik tersebut membantu meningkatkan kestabilan jentera terutamanya semasa membrek bagi mengurangkan kesan ‘nose dive’.

Atas kertas, Napoleonbob 250 dikuasakan enjin V-Twin 249cc SOHC yang berupaya menjana 25.5hp pada 9,000rpm dan 25Nm pada 5,500rpm. Operasi gear dikendalikan transmisi 6-kelajuan dengan bantuan ‘slipper clutch’. BENDA mendakwa Napoleonbob mampu mencapai kelajuan maksima 129km/j namun dengan keupayaan rakyat Malaysia kami yakin motosikal ini mampu pergi lebih laju.

Antara kelengkapan lain ditawarkan:
- panel meter TFT dengan paparan digital
- rim 18-inci depan dan belakang
- ABS dwi-saluran
- traction control
- tangki bahan api 9.5L







