Buletin

PRO-NET PEROLEH PEMBIAYAAN RM200 JUTA DARIPADA CIMB BANK

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat milik penuh Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, mengumumkan bahawa ia telah memperoleh pembiayaan sebanyak RM200 juta daripada CIMB Bank Berhad (CIMB) bagi pembiayaan inisiatif mobiliti hijau dan import serta pengedaran kenderaan elektrik premium (EV) smart #1 di Malaysia.

PRO-NET adalah pengimport dan pengedar sah eksklusif untuk kenderaan smart di Malaysia serta Thailand.

Syarikat itu juga bertanggungjawab untuk memenuhi komitmen pengeluar kereta nasional PROTON terhadap agenda kenderaan elektrik dan bersedia memainkan peranan penting bagi memimpin peralihan ke arah pengeluaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) serta pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.

Ahli Lembaga Pengarah PRO-NET, Roslan Abdullah menyatakan bahawa ia akan menggunakan pembiayaan ini untuk meningkatkan ekosistem digital serta rantaian bekalan dalam infrastruktur EV selain, mengembangkan rangkaian bagi memastikan pengalaman runcit yang lebih lancar.

Tambahnya lagi, Langkah ini akan memudahkan peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik, sejajar dengan objektif neutral karbon Malaysia.

Bagi merangsang penggunaan EV dan menyokong peralihan ke arah mobiliti mampan di seluruh ASEAN, CIMB telah melancarkan rangkaian penyelesaian kewangan EV yang komprehensif.

Penyelesaian ini merangkumi pelbagai produk dan perkhidmatan, termasuk kadar pembiayaan kereta utama, perlindungan insurans, dan pelbagai keistimewaan eksklusif lain.

Sebagai perantara kewangan yang berusaha mencapai tujuan berkelanjutan, CIMB Group terus memperkukuhkan inovasi dalam kemampanan untuk mencapai sasaran kewangan mampan sebanyak RM100 bilion menjelang 2024 di bawah Rangka Kerja Produk dan Perkhidmatan Hijau, Sosial, Impak Mampan (GSSIPS) Kumpulan.

“Langkah ini selaras dengan aspirasi CIMB Group untuk menjadi bank utama di ASEAN dan menjadi peneraju dalam kelestarian di rantau ini, seperti yang dinyatakan dalam pelan strategik Forward23+ kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Borong Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin.

Google ads
Back to top button