Buletin

PROTON MULAKAN PRODUKSI X50 DI TANJUNG MALIM

SUV PROTON yang dinanti-nantikan sudah mula dihasilkan di kilang pengeluaran baharu di Tanjung Malim yang telah siap dibina pada 2019 dengan kos RM1.2 bilion. 

Pengerusi PROTON, Dato’ Sri Syed Faisal Albar juga mengesahkan bahawa selaras dengan nama SUV Proton X70, SUV segmen-B baharu itu akan diberi nama Proton X50.

Proton X50 ialah kenderaan kedua yang dilancarkan hasil perkongsian teknologi antara PROTON dan Geely.

Dibina atas platform BMA (B-segment Modular Architecture) yang juga digunakan oleh produk Geely dan Volvo, X50 dijana oleh enjin turbo, kotak gear DCT tujuh-kelajuan dan sistem bantuan pemandu generasi baru.

Komuniti pembekal automotif Malaysia dijangka memperoleh manfaat daripada pengeluaran X50 di kilang Tanjung Malim dengan jumlah pembelian dianggarkan sebanyak RM1.8 bilion setahun.

Proton X70 pula akan memerlukan pembelian komponen sebanyak RM1 bilion. Ini bermakna jumlah pembelian tahunan untuk kedua-dua SUV PROTON tersebut bakal mencecah RM2.8 bilion.

Dengan adanya model baharu ini, PROTON menjangkakan peningkatan jumlah jualan. Seperti pengeluar kenderaan lain, pandemik COVID-19 telah memberi kesan negatif kepada industri automotif.

Namun begitu, PROTON merupakan satu-satunya jenama automotif yang berjaya mengatasi jualan keseluruhan berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu pada akhir Ogos 2020.  

“Sebagai sebuah syarikat pengeluar kenderaan tempatan, pertumbuhan jualan PROTON akan menambah perbelanjaan ke dalam ekosistem pembekal automotif. Bukan itu sahaja, ia akan menambah peluang

pekerjaan. Ini amat penting memandangkan ekonomi Malaysia sedang berdepan tempoh yang mencabar akibat kesan COVID-19,” kata Syed Faisal.

GALERI

Google ads
Back to top button