PROTON X90 2024 – SEDAP DAN PREMIUM MACAM MUSANG KING BENTONG
Sedar tak sedar, sudah lebih setahun Proton X90 berada di pasaran tempatan. Dalam tempoh itu, banyak kali juga kelibat SUV berkenaan kelihatan di atas jalan.
Ini secara tidak langsung menunjukkan menunjukkan X90 semakin mendapat tempat di hati pengguna, biarpun jumlah jualannya tidaklah sebanyak model Proton yang lain. Sedia maklum bahawa SUV yang dibina di atas model Geely Haoyue dan Geely Okavango di Filipina itu menjadi pelengkap kepada barisan model X yang ditawarkan oleh Proton selepas X70 serta X50.
Bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, Proton menawarkan X90 dalam empat varian pada harga seperti berikut:
- Standard – RM123,800
- Executive – RM130,800
- Premium – RM144,800
- Flagship – RM152,800
Daripada empat varian tersebut, hanya Flagship yang hadir dengan konfigurasi enam tempat duduk bersama captain seat pada baris kedua. Manakala varian lain dilengkapi tujuh tempat duduk yang masih lagi cukup selesa untuk semua penumpang.
Jadi, bagi mengingatkan kembali kewujudan model ni, Proton telah menjemput sekumpulan wartawan untuk menikmati keenakan durian Musang King di Bentong Happy Farm di Bentong, Pahang baru-baru ini.
Bagi memberi peluang kepada media untuk memandu dan menikmati keselesaan sebagai penumpang, setiap unit X90 dinaiki oleh empat orang daripada media outlet berbeza.
Perjalanan yang memakan masa hampir dua jam itu melalui lebuh raya dan jalan Persekutuan, seterusnya mampu membuktikan keupayaan jentera berkenaan untuk membawa penumpang dengan cukup selesa.
Saya dan rakan-rakan bertuah kerana mendapat varian Flagship yang lengkap dengan pelbagai ciri menarik.
Saya memulakan pemanduan menuju ke Bentong Happy Farm setelah berhenti seketika di stesen minyak BHPetrol selepas tol Gombak. Ini merupakan kali kedua saya memandu X90 dalam jarak yang jauh selepas satu sesi pandu uji menuju ke Kuantan tahun lalu.
X90 menggunakan khidmat enjin turbo 1.5 liter turbo GDI yang digabungkan bersama sistem mild-hybrid 48V. Ia menjadi model pertama Proton yang rangkaian kuasa tenaga baharu (NEV). Enjin tersebut mampu menjana kuasa 177PS dan tork setinggi 255Nm. Sistem mild-hybrid itu nyata membantu membuatkan X90 berasa lebih ringan, walaupun dinaiki oleh empat orang dewasa.
Lebih spesifik lagi, proton mendakwa rangkaian kuasa tersebut berupaua menawarkan pecutan dari ttiktik pegun sehingga 10 peraus, pecutan sebanyak 15 peratus lebih baik dan mengurangkan emisi sehingga 13 peratus berbanding enjin sama yang digunakan pada varian asas X70.
Anda harus tahu yang bunyi enjin tiga silinder tidak mengeluarkan bunyi yang terlalu meraung walaupun pedal minyak ditekan dengan agresif. Kuasa yang disalurkan menerusi kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan itu cukup lancar, sekali gus membuatkan pemanduan menaiki dan menuruni laluan berbukit di Lebuhraya Karak agak menyeronokkan.
Cuma, saya kurang gemar dengan campur tangan sistem keselamatan Lane Keeping Assist yang bagi saya sedikit agresif dalam menarik stereng bagi memastikan kenderaan berada dalam lorong yang betul. Biarpun begitu, ia secara tidak langsung memaksa pemandu agar lebih peka ketika memandu.
Kalau pernah atau sedang memandu kereta buatan China sekarang, anda pasti sedar yang kadang-kala sistem keselamatan pada X90 bagi saya terlebih sensitif. Kalau tak biasa mungkin boleh stress dengan segala bunyi amaran yang tiba-tiba boleh berbunyi, misalnya apabila SUV ini dipandu hampir dengan kenderaan di hadapan.
Ketika terpaksa berhenti seketika di pondok tol untuk menyentuh kad Touch n’ Go, saya baru sedar X90 ada satu lagi ciri keselamatan yang menarik. SUV itu tidak akan bergerak selagi tali pinggang keledar tidak dipakai walaupun berada dalam kedudukan gear D. Ini kerana brek tangan elektrik akan diaktifkan secara automatik sebaik sahaja tali pinggang keledar dibuka.
Melayan selekoh dalam kelajuan sedikit tinggi dengan X90 tidaklah seseronok anda memandu sebuah sedan atau hatchback. Sifat rekaan badan yang tinggi membuatkan olengan badan tidak boleh dielakkan walaupun ia agak minimum. Lagipun, ini sebuah SUV keluarga, pandu santai-santai sudah lah.
Untuk tiba ke Bentong Happy Farm, kami perlu memasuki exit ke Bentong dan melalui sedikit jalan tidak berturap. Di sinilah, sistem suspensi dan keselesaan X90 teruji. Jentera itu dapat menyerap ketidaksempurnaan jalan dengan baik, terima kasih kepada penggunaan suspensi jenis multi-link pada roda belakang yang telah mendapat talaan khas daripada Proton.
Mengenai ruang kabin pula, saya tidak ada banyak rungutan selain ketiadaan ciri ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Tetapi, Proton dikhabarkan bakal menawarkan ciri itu tidak lama lagi. Kita tunggu sahaja ketibaannya nanti. Jadi buat masa sekarang, pemandu terpaksa menggunakan peta navigasi daripada ACO Tech ATLAS OS sahaja.
Selain itu, X90 tampil dengan rekaan papan pemuka yang kemas dan nampak mewah. Resolusi tinggi skrin sentuh infohibur bersaiz 12.3 inci itu mampu menawarkan paparan yang cukup jelas. Sama ada ketika menggunakan apa jua aplikasi ataupun apabila kenderaan diundur.
Bagi sesiapa yang belum pernah sampai di Bentong Happy Farm, ia bukan sekadar menghidangkan durian Musang King yang enak. Malah, kami sempat merasai kemanisan madu kelulut, selain melihat rakan-rakan lain memerah susu kambing dan mengutip telur di reban ayam.
Perut pun dah kenyang, tibalah masa untuk kembali semula ke Kuala Lumpur. Untuk perjalanan balik, saya berpeluang duduk di captain seat X90. Memang selesa sehingga tertidur, lebih best kalau ada bidai pada cermin tingkap, tidaklah silau kan.
Apa pun, X90 patut ada dalam senarai sekiranya anda sedang mencari sebuah SUV dengan kapasiti enam atau tujuh tempat duduk. Harga berpatutan dan ciri yang ada pun cukup lengkap.
- BACA: PROTON X90 TIBA DI PASARAN BANGLADESH, TAWAR DUA VARIAN
- BACA: INI KOS SERVIS PROTON X90, SUV 7 TEMPAT DUDUK. HARGA BERMULA RM 244.51
- BACA: PROTON X90 SKOR 5 BINTANG UJIAN PERLANGGARAN ASEAN NCAP
- BACA: PROTON X90 RASMI DILANCARKAN. 4 VARIAN, 6 & 7 TEMPAT DUDUK, 188HP/300NM, 6 PILIHAN WARNA, BERMULA RM123,800
GALERI